Berita Utama

Darurat: Kerajaan awam berfungsi seperti biasa

Kerajaan perlu kuasa tertentu bagi pasti wabak ini dibendung

KUALA LUMPUR, 28 Jamadilawal 1442H, Selasa – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan awam akan terus berfungsi seperti biasa di peringkat persekutuan dan negeri sepanjang tempoh pelaksanaan darurat yang diisytiharkan bagi membendung pandemik COVID-19.

Perdana Menteri berkata Jemaah Menteri dalam nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpendapat bahawa darurat seluruh negara perlu diisytiharkan memandangkan kes jangkitan semakin meningkat dan tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dalam masa terdekat.

“Oleh itu, kerajaan perlu mempunyai kuasa-kuasa tertentu bagi memastikan wabak ini dapat dibendung dengan lebih berkesan dan perkhidmatan kesihatan yang disampaikan rakyat tidak lumpuh.

“Jentera pentadbiran kerajaan Persekutuan dan negeri tidak akan terganggu dengan pengisytiharan proklamasi darurat,” katanya dalam perutusan khas sempena darurat yang disiarkan di stesen televisyen utama negara hari ini.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara hari ini memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button