Berita Utama

Elak spekulasi liar berkait PKP, darurat

MCMC pantau pengguna media sosial elak kenyataan jelik babit raja, agama dan kaum

BANGI, 28 Jamadilawal 1442H, Selasa – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan terus memantau bagi membendung penyebaran maklumat tidak sahih serta kenyataan yang bersifat jelik membabitkan raja, agama dan kaum. 

Sehubungan itu, pengguna media sosial diingatkan supaya sentiasa menjaga kesopanan dan kesusilaan ketika memberikan pandangan serta membuat ulasan berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pengisytiharan Proklamasi Darurat. 

Jabatan Komunikasi Korporat MCMC berkata, sebarang perkongsian yang bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. 

Katanya, jika sabit kesalahan individu boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya. 

“MCMC ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan dijalankan berdasarkan aduan daripada orang awam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada secara telus demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat. 

“MCMC turut berharap rakyat dapat berganding bahu bersama dengan kerajaan dalam memberi fokus kepada usaha meredakan ledakan pandemik COVID-19 dan membantu penduduk yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri,” katanya. 

Jabatan itu turut meminta supaya semua pihak mengelakkan keghairahan melampau atau membuat spekulasi liar serta berita palsu yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni. 

“Laporkan insiden atau kandungan berunsur 3R di media sosial terus kepada MCMC melalui aplikasi Whatsapp di talian 016-2206262 atau e-mel kepada [email protected] 

“Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan http://sebenarnya.my/salur/,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button