Berita Utama

Hospital Melaka sesak, tak mampu tampung pesakit COVID-19

Kerajaan negeri syor buka 4 lagi pusat kuarantin di Melaka

AYER KEROH, 28 Jamadilawal 1442H, Selasa – Penempatan di Hospital Melaka tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit COVID-19 sehingga terpaksa menghantar mereka ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor untuk dikuarantin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, berikutan itu, kerajaan negeri bercadang membuka empat lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi menampung peningkatan kes positif wabak berkenaan, di negeri ini.

Beliau berkata, empat lokasi yang dicadang adalah Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Dewan Tun Ali di Bukit Katil, Dewan Bistari Ayer Keroh dan Dewan Citra Kasih di Durian Tunggal.

Ia dijangka boleh menampung lebih 3,000 pesakit dalam satu-satu masa, lapor BH.

Katanya, cadangan itu adalah sebagai persediaan sekiranya PKRC di MAEPS tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang dihantar untuk dikuarantin.

“Empat PKRC sedia ada iaitu di Penjara Sungai Udang, Penjara Koresional Jasin, Pusat Koreksional Malaysia Tanjung Kling dan Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo tidak dibuka untuk orang awam. Justeru, kita merancang membuka empat PKRC yang lain jika keadaan memaksa.

“Namun, buat masa ini kita terlebih dulu menghantar pesakit ke MAEPS untuk mendapat rawatan serta kuarantin dan jika berlaku kesesakan di sana, kita akan buka PKRC di Melaka pula.

“Sudah pasti langkah penjimatan dapat kita ambil apabila PKRC di Melaka dibuka nanti, ” katanya.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, kewujudan empat PKRC baharu terbabit adalah langkah terbaik untuk menjimatkan kos dan jumlah kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) susulan peningkatan jumlah jangkitan baharu melebihi kes sembuh.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button