Berita Utama

Isytihar darurat tidak jamin krisis politik berakhir?

Ahli politik perlu henti utamakan parti, fokus isu rakyat

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 28 Jamadilawal 1442H, Selasa – Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan di seluruh negara sehingga 1 Ogos depan tidak menjamin pengakhiran kemelut politik yang berlaku dalam negara ini.

Bagaimanapun pengisytiharan itu diibaratkan sebagai serampang dua mata kerana walaupun bertujuan mengekang ancaman penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan, ia juga boleh digunakan bagi menghalang krisis politik daripada berpanjangan.

Penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, darurat tidak menghalang sekiranya Yang di-Pertuan Agong mahu Parlimen bersidang bagi menyelesaikan isu sama ada kerajaan sekarang mempunyai majoriti ataupun tidak.

Jelasnya, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memiliki kuasa ketika darurat untuk memanggil sidang Parlimen.

“Itu semua termaktub dalam kuasa (Agong) sebabnya apabila darurat, peruntukan Perlembagaan secara keseluruhan ditangguhkan kecuali beberapa peruntukan lain.

“Jika berlaku krisis berpanjangan dan Agong melihat tidak boleh diselesaikan di luar Parlimen, maka cara terbaik adalah panggil sidang Parlimen khas dan bentangkan usul sama ada ahli dewan rakyat masih menyokong Perdana Menteri atau sebaliknya. Itu mungkin berlaku,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, Prof Nik Ahmad meminta supaya ahli politik berhenti daripada mengutamakan isu kepentingan parti dalam konteks yang dihadapi negara ketika ini.

Beliau menggesa fokus diutamakan kepada usaha untuk menangani masalah yang ada pada rakyat.

“Kita lihat kerajaan itu bertanggungjawab pada semua rakyat dan negara. Tetapi pada masa sama jika kerajan itu sedang menghadapi tekanan yang besar dari segi politik, maka fokus kerajaan tidak akan dapat sepenuhnya menangani isu COVID-19 dan ekonomi. Itu selalunya yang menjadi satu masalah.

“Bahkan kita tahu bahawa Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH) ibarat telur di hujung tanduk dengan majoriti sangat tipis.

“COVID-19 ini tidak menghalang UMNO dan parti lain untuk mengutarakan isu kerajaan tidak mempunya majoriti. Cuma apabila darurat diisytiharkan, mungkin fokus itu akan berubah,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button