Berita Utama

Kerajaan tiada kuasa padam TikTok Sanusi: Saifuddin

'Bila terima banyak aduan, maka TikTok akan padam akaun itu'

BANGI, 27 Zulhijjah 1444H, Ahad – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan kerajaan Malaysia tiada kuasa untuk memadam akaun mana-mana individu di aplikasi TikTok.

Justeru, beliau menyelar dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Malaysia sedang bergerak menjadi Korea Utara selepas akaun media sosialnya dipadam dan tidak boleh diakses lagi.

Menurut Saifuddin, beliau tidak bersetuju dengan dakwaan Muhammad Sanusi itu, memandangkan kerajaan tidak terbabit dengan isu pemadaman akaun media sosial berkenaan.

“Hari ini MB Kedah kata content TikTok dia kena padam. Dia kata Malaysia dah jadi Korea Utara!

“Saya tentunya tak setuju sebab memang bukan kerajaan yang buat, kita pun banyak kerja lain,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

Terdahulu, Muhammad Sanusi membidas kerajaan yang menyekat kebebasan bersuara dengan menjadikan akaun media sosial ahli politik pembangkang sebagai sasaran dengan pelbagai tindakan.

Ini selepas beliau mendakwa akaun media sosialnya dipadam dan tidak boleh diakses lagi.

“Takutnya mereka kepada media yang bebas, itulah zaman pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan campur dengan Barisan Nasional, negara Malaysia ini sedang bergerak menjadi Korea Utara,” dakwa Muhammad Sanusi dalam satu video.

Mengulas perkara itu, Saifuddin berkata, aplikasi TikTok dimiliki firma teknologi dari China dan segala pantang larang juga tertakluk seperti mana platform media sosial lain.

“Kerajaan Malaysia ada kuasa ban akaun TikTok kita? Jawabnya tidak. Kalau TikTok terima banyak report dan aduan oleh pengguna lain, maka TikTok akan ban la akaun yang menjadi isu itu.

“Kiranya yang ban TikTok kita ialah publik bukannya kerajaan. Awam buat aduan dan TikTok ban,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button