Pendapat

Kepimpinan bangsa Melayu yang mengecewakan

Terlalu lama perjuangan bangsa ditentu pemimpin parti politik hipokrit, oportunis

APABILA diperhatikan sejarah dan realiti politik bangsa Melayu sejak beberapa dekad yang lalu, kita tidak dapat mengelak dari membuat satu kesimpulan bahawa kepimpinan bangsa Melayu hari ini sangat mengecewakan dan tidak boleh diharap untuk menjadi pemimpin masa depan yang berwibawa.

Pertama, kemerdekaan negara ini tidak dicapai melalui perjuangan sebenar, akan tetapi hasil daripada tipu daya penjajah dan juga kekalahan jiwa bangsa Melayu, khususnya para pemimpin mereka, yang terpaksa menerima syarat-syarat yang dipaksakan ke atas mereka sekiranya ingin menikmati “kemerdekaan”. Dalam erti kata lain, kemerdekaan negara ini adalah sesuatu yang dipaksakan, ditambah lagi dengan kehinaan di mana bangsa yang bukan penduduk asal Tanah Melayu ini perlu diterima sebagai rakyat dan warganegara.

Pada pandangan saya, ini adalah harga yang terlalu murah yang bangsa Melayu perlu bayar untuk mencapai kemerdekaan yang memalukan.

Kegemilangan sejarah Empayar Melaka sendiri tidak memiliki pengaruh yang luas, kuat dan berpanjangan untuk mengekalkan kedaulatan bangsa Melayu selama beberapa kurun. Ia hanya satu persinggahan sejarah bangsa ini yang kini hanya dapat dinostalgiakan di dalam Arkib Negara dan muzium sahaja.

Mengapa saya menyorot tentang sejarah lampau?

Ini kerana realiti bangsa Melayu hari ini adalah kesan dan natijah langsung daripada sejarah yang diwarisi. Apabila warisan sejarah itu dipenuhi dengan kekalahan, ketundukan, pengkhianatan dan dominasi hawa nafsu, maka tidak ada apa yang perlu dibanggakan langsung.

Detik pertama penjajah Inggeris datang ke Tanah Melayu adalah dengan langkah suatu kuasa yang menang dan dominan. Bangsa Melayu begitu mudah diperbodohkan dan diperdayakan oleh kerana mereka telah berpaling dari punca dan sumber kekuatan sebenar iaitu agama Islam. Pihak penjajah telah bereksperimen dengan banyak negara Islam lain sebelum menjejak kaki ke Tanah Melayu dan mereka mempunyai “Pelan Induk” bagaimana untuk mengulang kembali kejayaan dan keberhasilan mereka menundukkan umat Islam di tempat-tempat lain.

Tidak cukup dengan itu, pihak penjajah juga berjaya mencipta satu barisan penerus risalah dan agenda mereka dari kalangan pemimpin tempatan, yang akan berfungsi untuk mempertahankan dan meneruskan agenda “perhambaan” ke atas bangsa yang masih “terjajah” ini walaupun selepas tercapainya “kemerdekaan” dari “Tuan Besar” yang datang dari benua lain.

Terpesona dengan kemerdekaan yang baru sahaja dinikmati, bangsa Melayu telah lupa (atau sengaja dicandukan) untuk membina dan mempersiapkan kekuatan untuk bangkit sebagai bangsa yang bermaruah dan berdaulat pascamerdeka. Pengisian kemerdekaan ditentukan oleh kumpulan pemimpin tempatan yang minda mereka telah dicanai dengan acuan pemikiran Barat. Kalimat-kalimat “Kemajuan” dan “Pemodenan” menjadi sebutan dan siulan yang paling laku untuk mendodoikan jiwa bangsa yang masih terjajah ini. Para “pemimpin” bangsa Melayu ini dijulang dan dipromosikan sebagai pemimpin-pemimpin yang akan membawa bangsa Melayu menuju kejayaan dan ketinggian.

Malangnya, itu semua hanyalah fatamorgana dan impian yang ditanam oleh para penjajah sebelum mereka menapak keluar dari tanah air dan Tanah Melayu. Bangsa ini disibukkan dengan permainan-permainan politik, melalui parti-parti politik dan juga sistem sokongan yang terdiri dari media massa pro-Barat, yang mula mengarus perdanakan corak pemikiran liberal, kebebasan dan perlepasan dari nilai-nilai yang dianggap kuno dan penghalang kepada kemajuan dan kemodenan.

Meskipun negara telah mencapai beberapa kemajuan kebendaan dan pembangunan fizikal yang cemerlang, corak pemikiran dan nilai-nilai hidup yang tertanam dalam diri pemimpin-pemimpin politik bangsa Melayu masih tidak berubah. Apa yang menjadi amalan biasa di kalangan pihak penjajah (meskipun melanggar norma-norma akhlak dan kesusilaan) sudah tidak asing lagi di kalangan para pemimpin ini hingga ke hari ini.

Malah, sikap buruk ini turut menjalar dan meresapi barisan pimpinan dalam pelbagai peringkat – Kementerian, Jabatan, Agensi dan pemimpin-pemimpin masyarakat merentas jawatan.

Maka rasuah, pecah amanah, mungkin janji, pengabaikan tugas, melepaskan tanggungjawab dan mengkhianati amanah dan mandat bukan lagi dianggap perbuatan-perbuatan berdosa.

Situasi ini malah lebih teruk lagi pada parti-parti politik yang mempamerkan agenda perjuangan mereka – kononnya untuk menjuarai kepentingan umat Islam, membela maslahat bangsa, mendaulatkan tanahair dan berbagai-bagai slogan yang memualkan. Baik parti yang berlambang Islama atau Melayu, yang selalu dan sebenarnya diutamakan adalah kepentingan parti dan juga kepentingan para pemimpin parti.

Wajah parti-parti ini (apa nama sekalipun), kalau mereka tidak menghalang anasir-anasir sesat masuk ke dalam parti mereka di satu segi, mereka juga tidak akan segan silu mengutamakan kepentingan rakan-rakan politik yang sangat jelas permusuhannya terhadap agama Islam dan umat Islam.

Kalau mereka tidak sibuk mengkayakan diri, keluarga dan kumpulan mereka, mereka akan saling mengkhianati dan memijak sesama sendiri. Kalau mereka tidak memfitnah, mereka akan berebut kuasa dan kedudukan.

Kalau mereka tidak menggadai prinsip, mereka akan membelakangi mandat dan kepercayaan rakyat dan para pengundi.

Kalau mereka tidak berani melarang penyelewengan atau penindasan, mereka akan sibuk mencari helah dan alasan supaya tidak terkantoi dalam kecurangan dan ketidakjujuran mereka.

Kalau mereka sangat malas untuk menegakkan kebenaran, mereka akan menutup kedua-dua mata terhadap berleluasanya kezaliman dan kemungkaran.

Kalau mereka enggan berbangga untuk menekuni nilai-nilai Syara’ dalam pemerintahan dan kehidupan harian mereka, mereka langsung tidak segan silu membenarkan konco-konco syaitan meracuni rakyat dan umat di sana sini.

Lebih menghairankan lagi, makhluk-makhluk perosak ini kemudiannya dengan selamba akan tampil ke khalayak umum dengan gaya mempesonakan sambil mengaku sebagai pejuang-pejuang Islam dan bangsa Melayu!

Mereka tidak berani memberi pengajaran kepada pihak-pihak yang melanggar undang-undang, bagaimana mereka hendak mendapat keyakiunan dari rakyat dan umat?

Mereka begitu ghairah dan haloba untuk berkuasa, merampas kuasa dan mempertahankan kuasa, bagaimana mereka hendak menjalankan amanah dan tanggungjawab?

Mereka asyik bercakaran dan saling tikam-menikam sesama sendiri, bagaimana mereka hendak menganjurkan kesatuan dan perpaduan sesama umat Islam dan bangsa Melayu?

Mereka lebih rela tunduk kepada kehendak parti dan pemimpin bukan-Islam yang melampau, bagaimana mereka akan bina kekuatan umat dan bangsa?

Mereka telah ditawan oleh hawan afsu, bagaimana mereka mampu membersihkan kerosakan umat dan bangsa dari dalam?

Mereka sudah hilang kompas hakiki dalam pemerintahan, bagaimana mungkin mereka hendak memimpin umat dan bangsa?

Jiwa mereka telah dibelenggu dan tertawan, bagaimana mereka hendak mempertahankan kedaulatan negara?

Apabila kerosakan yang maha besar ini sudah berlaku dalam kalangan parti-parti politik Melayu Islam dan para pemimpinnya asyik mementingkan maslahat diri sendiri, parti, kelompok, keluarga dan para pengampu mereka, daripada berkhidmat untuk kebajikan dan maslahat umat dan bangsa, ini adalah petanda awal bahawa umat Islam dan bangsa Melayu akan sekali lagi dijajah dan dikuasai oleh pihak lain dalam tanahair sendiri!

Demi survival dan masa depan umat Islam dan bangsa Melayu, gerombolan di atas perlu disingkirkan dari Kerusi Kepercayaan.

Sebelum azab yang lebih besar menimpa umat dan bangsa, gerombolan makhluk perosak ini perlu digantikan dengan kumpulan lain yang tidak serupa dengan mereka, yang lebih layak dan berwibawa serta dicintai oleh setiap insan.

Negara ini tidak ketandusan para pemimpin baru yang bertanggungjawab, amanah dan tidak khianat kepada mandat serta menguasai seni membangunkan kembali peradaban baru di negara ini, bersandarkan garispanduan Syara’ dan kaedah-kaedah pengislahan umat dan bangsa yang telah terbukti keberkesanannya.

Sudah terlalu lama naratif perjuangan bangsa Melayu ini ditentukan oleh parti-parti politik dan para pemimpinnya yang hipokrit dan oportunis!

Mohd Luttfi Abd Khalid
Pengerusi iPeguam/Pemerhati politik

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button