Berita Utama

Rakyat tarik nafas lega tiada PRU, PRN dalam tempoh COVID-19

79 negara isytihar darurat sebagai tindak balas tangani pandemik

BANGI, 28 Jamadilawal 1442H, Selasa – Pelbagai persoalan mungkin bermain di fikiran rakyat ketika ini mengenai keperluan pengisytiharan darurat terutama sekali apabila negara tidak berdepan dengan sebarang situasi tragik seperti rusuhan mahupun perang.

Penganalisis politik, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, berkemungkinan ada yang mempersoalkan mengapa Perlembagaan membenarkan darurat diisytiharkan atas alasan ancaman ke atas ekonomi.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, di sini letaknya kebijaksanaan penggubal Perlembagaan. 

Katanya, Perlembagaan Malaysia digubal selari dengan kebanyakan perlembagaan negara lain dengan mengambil kira situasi luar jangka atau ‘unprecedented situasion.’

“Wabak COVID-19 ini antara situasi luar jangka. Ia memerlukan langkah kerajaan yang drastik. Maka pilihan terbaik ialah proklamasi darurat.

“Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam resolusi Perhimpunan Agung PBB 11 September 2020 baru-baru ini menekankan konsep ‘a whole-of-government response’ bagi mengatasi COVID-19 ini.

“Maksudnya, keseluruhan jentera kerajaan perlu fokus kepada isu ini, bukannya Kementerian Kesihatan (KKM) sahaja. Ini juga pendekatan dalam banyak negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Pensyarah Pusat Polisi Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur itu memaklumkan bahawa terdapat satu badan antarabangsa, iaitu The Centre for Civil and Political Right (CCPR-Centre) membuat pengumpulan data. 

Dr Fathi berkata, dalam laman web mereka disebut terdapat 79 negara mengisytiharkan darurat sebagai tindak balas menangani pandemik COVID-19. 

Ia termasuk Australia, Indonesia, Finland, Brazil, Itali, Sepanyol, Afrika Selatan, Libya, Filipina, Thailand, Argentina dan Jordan.

Katanya, Malaysia sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada Akta 342, iaitu Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Terbukti akta ini belum memadai untuk menghadapi wabak COVID-19 dengan cara menyeluruh, cepat dan berkesan.

“Perdana Menteri mengumumkan beberapa langkah yang boleh diambil melalui ordinan darurat yang akan dicadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dikuatkuasakan.

“Antaranya berkaitan dengan penglibatan langsung pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), penggemblengan sumber dan aset institusi kesihatan swasta serta hukuman lebih tinggi kepada pesalah ingkar. Penyelarasan jentera kerajaan juga lebih mudah dengan proklamasi darurat ini,” jelasnya.

Selain itu, Dr Fathi berkata, proklamasi darurat ini dapat melegakan rakyat kerana dapat mengelakkan risiko pilihan raya umum (PRU), pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) dalam tempoh wabak COVID-19.

Menyokong keputusan itu, beliau berkata, langkah tegas berkenaan amat perlu kerana undang-undang negara tidak memberikan kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau mana-mana badan untuk menangguhkan pilihan raya walau atas alasan apa sekalipun.

“Pengisytiharan darurat inilah satu-satunya jalan keluar bagi mengelakkan risiko lonjakan kes jangkitan COVID-19 akibat pilihan raya seperti yang pernah berlaku di Sabah baru-baru ini.

“Langkah ini tidak bertentangan dengan semangat demokrasi kerana Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu jawatankuasa bebas yang akan dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan dan yang berkait.

“Kita berharap usaha ini memberikan kesan positif dalam usaha kerajaan dan seluruh rakyat dalam memerangi wabak COVID-19. Diharapkan juga agar semua pihak bekerjasama dan memberikan tumpuan kepada usaha mengatasi COVID-19, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan mengukuhkan ekonomi negara,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button