Berita Utama

UMNO akan terima akibat jika angkat pemimpin dibenci rakyat

Ikrar tegak kebenaran tanpa rasa takut atau ragu: Annuar Musa

BANGI, 28 Jamadilawal 1442H, Selasa – UMNO diyakini mempunyai hayat yang panjang sekiranya tidak mengangkat pemimpin dibenci rakyat termasuk mereka yang terlibat dengan rasuah.

Sekiranya rakyat tidak mahukan mereka yang sombong, tak menjalankan tugas dan amanah, maka parti tidak perlu mengangkat orang sedemikian, saran Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan yakin bahawa parti akan menerima akibatnya jika mengangkat pemimpin yang tidak diterima oleh rakyat.

“Tetapi siapa yang nak menilai itu? Biarlah rakyat yang membuat penilaian.

“Kita jangan tuduh menuduh, kata mengata. Jangan jadi macam ketam dalam raga,” katanya ketika temu bual Kerusi Panas TV Pertiwi, malam tadi.

Meskipun dipecat sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) – dipercayai hanya kerana berbeza pandangan – Annuar berikrar akan terus menunaikan tanggungjawab beliau sebagai ahli UMNO.

“Saya akan terus tunaikan tanggungjawab saya. Saya akan terus bercakap seperti malam ini (semalam) without fear or favor.

“Saya akan terus menegakkan kebenaran, memberi nasihat, mana yang saya mampu tetapi saya akan terus mentarbiyahkan ahli-ahli UMNO,” katanya.

Sehubungan itu katanya, jika UMNO mahu hayatnya panjang, maka parti itu mesti dimurnikan bahkan mempunyai pemimpin-pemimpin yang diterima oleh rakyat.

“UMNO mesti mempamerkan kita menjadi juara kepada nasib rakyat. Jangan tunjuk sifat-sifat mazmumah – sikap buruk – berebut tak habis-habis, main politik duit, politik kuasa, politik tindas, politik pecat, main politik dikatakan mengutamakan kedudukan kita.

“Kita semua orang politik tak akan tidak tahu yang mana baik atau tak, yang mana rakyat suka atau tak. Kalau kita tahu rakyat benci kepada rasuah, maka pelaku rasuah atau orang yang merasuah jangan diangkat sebagai pemimpin,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button