
PUTRAJAYA, 29 Jamadilawal 1442H, Rabu – Sejumlah 2,985 kes harian baharu COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 144,518 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, bilangan kes COVID-19 yang sembuh bagi tempoh sama ialah 994 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 111,578 kes atau 77.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula ialah 32,377 kes,” katanya pada sidang media perkembangan harian COVID-19 di sini hari ini
Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu yang dicatatkan hari ini, dua merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.
“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 837 kes diikuti Johor dengan 535 kes dan Sabah yang mencatatkan 450 kes,” katanya. – Bernama