Dunia

China rekod kes harian COVID-19 tertinggi sejak 30 Julai

Pasukan pakar WHO ke Wuhan siasat sejarah awal tercetus wabak

BEIJING, 29 Jamadilawal 1442H, Rabu – China mencatatkan lonjakan kes harian COVID-19 tertinggi dalam tempoh lima bulan terakhir, walaupun mengenakan langkah-langkah ketat untuk membendung wabak. 

Peningkatan kes jangkitan itu melonjak menjelang kedatangan pasukan pakar dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke China bagi menyiasat asal-usul tercetusnya wabak di negara itu. 

Suruhanjaya Kesihatan Nasional dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sejumlah 115 kes baharu dilaporkan berbanding 55 kes pada hari sebelumnya. 

Angka terbaharu itu adalah kenaikan harian tertinggi sejak 30 Julai. 

Suruhanjaya itu memaklumkan, 107 daripada kes baharu adalah jangkitan tempatan. Hebei menyumbang 90 kes – jumlah kes tertinggi setakat ini – diikuti wilayah Heilongjiang (16 kes). 

Jumlah jangkitan baharu itu direkodkan sehari sebelum panel pakar WHO tiba di China untuk menyiasat sejarah awal tercetusnya wabak yang telah membunuh hampir dua juta orang di seluruh dunia.

Pasukan yang dianggotai 10 pakar itu dijangka melakukan perjalanan ke pusat bandar Wuhan, di mana wilayah awal wabak dikesan pada akhir 2019. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button