Berita Utama

Darurat kerana COVID-19, bukan semata-mata mahu selamatkan kerajaan

Kes jangkitan naik mendadak, kemelut politik berlaku serentak secara kebetulan

BANGI, 29 Jamadilawal 1442H, Rabu – Langkah kerajaan melaksanakan darurat yang turut diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah suatu yang dirancang, tidak hanya mengambil kira situasi politik semata-mata. 

Ini kerana, pelaksanaan keputusan itu mengambil kira dua perspektif iaitu membabitkan wabak pandemik COVID-19 dan situasi politik yang mengancam kerajaan sedia ada. 

Bagaimanapun, penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berpandangan, pengisytiharan darurat kali ini bukan hanya kerana politik, memandangkan masih ada lagi strategi yang boleh dilakukan kerajaan untuk menyelamatkan situasi ketika ini. 

“Tetapi apa yang telah berlaku ialah peningkatan mendadak kes COVID-19, yang menjadi alasan kukuh mengapa Yang di-Pertuan Agong memperkenan untuk isytihar darurat. 

“Jika Seri Paduka baginda melihat daripada perspektif politik sahaja untuk menyelamatkan kerajaan, maka saya tidak fikir baginda akan bersetuju untuk mengisytihar darurat ini,” katanya dalam Forum YB, di TV Pertiwi semalam. 

Dr Syed Agil berkata, dua situasi – wabak COVID-19 dan kemelut politik – yang berlaku di negara ini adalah secara kebetulan sehingga terjadinya kepada pengisytiharan darurat. 

“Apatah lagi, kita lihat COVID-19 yang membabitkan rakyat menjadi suatu perkara besar. Jika kita tidak isytihar darurat dan kerajaan terpaksa bubar Parlimen, maka PRU perlu diadakan. 

“Saya tidak rasa rakyat akan bersetuju dan mungkin mereka boikot kerana PRU tidak beri jaminan kepada pengundi untuk mengundi, dan pada masa sama bimbang terhadap keselamatan serta kesihatan mereka,” katanya. 

Justeru, beliau menganggap keputusan yang diambil kerajaan untuk melaksanakan darurat bertepatan dengan waktu dan keadaan negara sekarang. 

“Saya berpendapat bahawa beberapa fasa PKP yang dilakukan sebelum ini tidak sampai ke tahap optimum. 

“Dengan adanya pengisytiharan ini, kerajaan boleh menggunakan segala kemudahan daripada hospital swasta untuk membantu mereka menangani kes-kes baharu COVID-19,” katanya.

Semalam, Agong memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Baginda turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas akan dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan.

Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada baginda jika pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button