Berita UtamaIstimewa

Darurat penting sekat nafsu serakah parti politik ingkar titah Agong

Elak tindakan jahat beberapa pemimpin politik yang cuba tumbangkan kerajaan PN

BANGI, 29 Jamadilawal 1442H, Rabu – Selagi belum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), ahli politik digesa mengetepikan sebarang perbezaan dan berganding bahu membantu rakyat yang sedang berhadapan dengan musibah besar.

Meskipun PRU amat penting dan sukar dielakkan berdasarkan perkembangan politik semasa, namun ia wajar diadakan selepas negara berjaya menangani COVID-19 dan bencana banjir dengan cemerlang.

Pemerhati politik, Ir Lukman Al Hakim Mohammad berkata, tindakan kerajaan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) – bagi membendung penularan COVID-19 – walaupun agak lambat – harus dipuji.

“Tiada yang mempertikaikan keputusan ini. Cuma impaknya kepada ekonomi negara dan sara hidup rakyat seperti yang pernah kita semua lalui sebelum ini perlu ditampan atau diurus dengan baik

“Namun, setakat ini perancangan dan skim yang lengkap dari kerajaan masih belum jelas dalam hal ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara, cadangan kerajaan melaksanakan darurat yang turut diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mendapat komen beberapa pihak yang merasakan ianya tidak perlu, katanya.

Lukman berkata, ironiknya, pihak yang tidak berpuas hati inilah yang merupakan punca sebenar Agong terpaksa mengistiharkan darurat.

“Darurat ini penting bagi menyekat nafsu serakah para pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan UMNO yang telah menderhaka terhadap titah YDPA untuk berhenti bermain politik dan menumpukan fokus terhadap kebajikan rakyat terutama ketika pandemik COVID-19 dan musibah banjir yang melanda negara

“Ia juga penting bagi mengelakkan berlakunya PRN atau PRU akibat tindakan jahat beberapa pimpinan politik yang cuba menumbangkan kerajaan PN,” katanya.

Semalam, Agong memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Baginda turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas akan dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan.

Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada baginda jika pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat kerajaan mempunyai kuasa yang cukup untuk menangani penularan COVID-19 tanpa perlu mengisytiharkan darurat.

Bekas Perdana Menteri berkata, ia berikutan rakyat di negara ini patuh kepada arahan kerajaan yang membabitkan sekatan pergerakan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button