Artikel Khas

GSPP lancar kempen boikot syarikat mesra Israel

McD Corporation, Grab dan Netflix antara sasaran kempen boikot GSPP bersama rakyat

1. SEMALAM GSPP mengadakan sidang media kelima. Yang dibangkitkan di dalam sidang media semalam beberapa isu; pelancaran Tabung Pembebasan Palestin, kempen bantuan musim sejuk dengan sasaran RM 8 juta dan kempen boikot.

2. Sekiranya ada yang bertanya kenapa GSPP melancarkan kempen boikot, di sini saya kongsikan beberapa noktah penting tentang kempen ini.

3. Dari segi landasan syarak, saya suka tegaskan bahawa boikot bukan satu strategi yang berlawanan dengan syarak.

Bacalah sejarah Nabi SAW bagaimana Nabi SAW menghapuskan pasar Yahudi Bani Qainuqa’ yang penuh dengan penipuan, monopoli dan penindasan. Ia kemudian digantikan dengan pasar baru umat Islam yang pada peringkat awal penubuhannya bersaing dengan penuh kesukaran sehingga pernah dirosakkan tapak khemah perniagaan oleh samseng Yahudi.

Lihat juga bagaimana para sahabat RA mengambil alih industri penjualan senjata yang sebelumnya dimonopoli oleh Yahudi Bani Nadhir.

Lihat juga bagaimana umat Islam Madinah berpakat tidak membeli air dari telaga seorang Yahudi sehingga beliau terpaksa menjualnya kepada Saidina Usman RA.

4. Kempen boikot pernah melalui pelbagai pengalaman sebelum ini. Pernah di awal tahun 2000 menggunakan slogan ‘buy American last’. Kemudian kempen ini mati. Lama selepas itu muncul pula slogan ‘buy muslim first’. Tetapi itu juga tidak bertahan lama.

5. GSPP mengambil pendekatan menggunakan slogan ‘boikot’. Ini lebih mudah difahami dan lebih sesuai dengan suasana perang sekarang yang sudah mengorbankan 17 ribu umat Palestin dengan lebih separuh daripadanya adalah kanak-kanak.

Bahkan ‘boikot’ dilihat lebih sepadan dengan tekanan yang terhasil dari RUU US yang menyekat penyaluran dana bantuan dari seluruh dunia kepada badan pro Hamas. Barulah buku bertemu ruas.

6. GSPP memilih produk yang diboikot dengan mengambil kira empat ciri dan langkah di bawah:

i. Produk itu mesra Zionis dengan samada memberikan dana atau sokongan moral atau apa juga bentuk sokongan terhadap Zionis.

ii. Produk itu adalah yang mampu ditinggalkan oleh rakyat Malaysia tanpa sebarang beban dan kesukaran dalam kehidupan harian.

iii. Produk yang diboikot itu ada alternatif lain yang sedia ada di pasaran atau yang boleh dikembangkan kemudian dalam masa terdekat.

iv. Kempen akan berjalan dengan mengambil kira segala implikasi undang-undang.

7. Dengan itu GSPP memilih tiga syarikat yang akan diboikot iaitu McDonald Corporation, Grab dan Netflix. Fasa pertama boikot akan berjalan selama 90 hari.

8. Keberkesanan boikot terhadap syarikat mesra Israel sudah pun nampak bibit-bibitnya. Kunci kepada kejayaan adalah kesatuan hati dan tindakan serta istiqamah.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button