Berita Utama

Darurat: Peraturan kawalan pandemik disegerakan tanpa birokrasi

Proklamasi darurat tak boleh dipanjangkan melangkaui 1 Ogos 2021

BANGI, 29 Jamadilawal 1442H, Rabu – Perkara berkaitan penguatkuasaan peraturan berkenaan kawalan penularan pandemik boleh disegerakan, tanpa urusan birokrasi dan peraturan menyukarkan melalui pengisytiharan darurat.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata, pengisytiharan itu juga mungkin membolehkan kerajaan menggunakan infrastruktur swasta tanpa banyak proses birokrasi perundangan.

Jelasnya, ketika berlangsungnya keadaan darurat, Yang di-Pertuan Agong boleh membuat Ordinan tanpa melalui proses perundangan dalam dewan Parlimen.

Ordinan adalah nama undang-undang bertujuan menangani hal berkaitan darurat.

“Ada yang menggunakan istilah Parlimen digantung. Kuasa Yang di-Pertuan Agong ini boleh dilaksanakan tanpa memerlukan nasihat daripada jemaah menteri.

“Oleh itu, dalam titah diraja dimaksudkan, Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan bagi memberikan pandangan terhadap hal berkaitan pandemik,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara memaklumkan, Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Mengulas lanjut, Profesor Dr Shamrahayu berkata, darurat pada kali ini telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong tanpa pembubaran Parlimen, yang seterusnya tidak membubarkan kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan hanya akan terbubar sekiranya Parlimen dibubarkan.

Katanya, meskipun kerajaan masih lagi dapat berfungsi, namun ia tidak lagi mempunyai hak untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam hal membuat Ordinan bagi tujuan darurat.

Tambahnya, Ordinan berkenaan adalah kuasa budi bicara baginda.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak menghalang Yang di-Pertuan Agong mendapatkan pandangan kerajaan.

“Pastinya cakap-cakap politik tidak boleh berhenti walau dalam apa dimensi sekalipun. Namun ini adalah kedudukan undang-undang.

“Tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan pengisytiharan darurat sekali gus memansuhkan kerajaan atau menamatkan kerajaan sedia ada,” jelasnya.

Pada masa sama, Profesor Dr Shamrahayu berkata, titah diraja menyatakan bahawa jangka masa darurat akan berakhir selewat-lewatnya pada 1 Ogos ini atau boleh ditamatkan pada bila-bila masa atas nasihat Jawatankuasa Bebas yang akan ditubuhkan.

Tambahnya, Perlembagaan Persekutuan juga tidak menetapkan tempoh tertentu untuk tujuan darurat kerana sesuatu yang diputuskan pastinya mengikut keperluan dan berasaskan kepada tuntutan keadaan.

Beliau berkata, proklamasi darurat yang dibuat hendaklah dibentangkan kepada Parlimen apabila bersidang kelak dan ia juga boleh dirungkaikan, maksudnya ditamatkan Parlimen melalui suatu ketetapan.

“Begitu juga dengan Ordinan dibuat bagi tujuan darurat. Kedua-duanya hendaklah dibentangkan kepada Parlimen. Hal ini disebut pada Fasal 150(2C).

“Proklamasi darurat tidak boleh dipanjangkan melangkau tarikh 1 Ogos 2021 sekiranya ia diwartakan sehingga 1 Ogos saja. Sekiranya perlu, satu pengisytiharan darurat yang lain perlu dilakukan.

“Darurat bukan untuk pihak berkuasa menyalahguna kuasa, tetapi adalah untuk menstabilkan keadaan dan memberi manfaat untuk Malaysia. Ia adalah perkara yang dibenarkan undang-undang dan perlu juga patuh kepada undang-undang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button