Berita Utama

Inix daftar mohon edar vaksin dengan KKM

Vaksin perlu mendapatkan kelulusan NPRA sebelum digunakan di negara ini

KUALA LUMPUR, 29 Jamadilawal 1442H, Rabu – Inix Technologies Holdings Bhd (Inix) telah mendaftar permohonan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membolehkan pihaknya mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 dari China.

Menggunakan pendaftaran melalui anak syarikat milik penuhnya, Inix Network Sdn Bhd (Inix Network), kumpulan itu perlu mendapatkan kelulusan NPRA sebelum vaksin berkenaan boleh digunakan di Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Inix berkata, vaksin COVID-19 yang bakal diedarkan kumpulan akan diperoleh daripada Sinovac Biotech Co Ltd, Cansino Biologics Inc dan Sinopharm China National Biotech Group Co Ltd (CNBG).

“Pendaftaran dengan NPRA penting untuk pengedaran vaksin di Malaysia. Kerajaan sudah memastikan hanya vaksin yang memenuhi syarat KKM akan didaftarkan dan digunakan di Malaysia.

“Proses penilaian ini dibuat oleh Jawatankuasa Penilaian Produk NPRA dan pihak berkuasa kawalan ubat untuk kelulusan sebelum vaksin COVID-19 dapat digunakan,” katanya.

Inix berkata, kumpulan itu menyasarkan untuk memulakan operasi pembekalan vaksin COVID-19 seawal suku pertama tahun ini.

Pada masa sama, kumpulan itu juga dalam proses meneroka perniagaan baru dalam sektor sarung tangan getah,

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata, 60 peratus sehingga 70 peratus atau sekitar 23 juta rakyat perlu diberikan vaksin COVID-19.

Ketika ini, kerajaan sudah menandatangani perjanjian awal dengan Covax, Pfizer dan AstraZeneca untuk mendapatkan bekalan vaksin itu.

Malaysia juga berada di tahap akhir rundingan dengan Sinovac, Cansino dan Gamaleya untuk mendapatkan bekalan vaksin, yang bakal digunakan 80 peratus daripada jumlah penduduk negara ini.

Selain itu, Inix berkata, setelah mendapat persetujuan dari KKM, kumpulan itu dapat mengimport vaksin sebelum memberi KKM melakukan Percubaan Klinikal Fasa 3, di mana ia akan ditaja sepenuhnya oleh kumpulan itu.

“Percubaan klinikal pertama di Malaysia ini dijangka membabitkan sekitar 3,000 sukarelawan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button