Berita Utama

Johor tubuh pusat penilaian COVID-19

Dijangka bantu bina polisi lengkap urus pesakit COVID-19

JOHOR BAHRU, 29 Jamadilawal 1442H, Rabu – Kerajaan negeri Johor menubuhkan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Klinik Kesihatan Bukit Indah di sini, bagi membantu pesakit mendapatkan nasihat dan penilaian awal sebelum dimasukkan ke hospital.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kesihatan Johor R. Vidyananthan berkata, ia ditubuhkan Ahad lepas berdasarkan keperluan.

Penubuhan pusat itu dijangka membantu dalam membina polisi yang lengkap bagi pengurusan pesakit positif COVID-19 meliputi perawatan di rumah, dalam komuniti dan juga di hospital.

“Setakat pukul 5 petang semalam, seramai 371 pesakit telah datang ke pusat ini. Daripada jumlah tersebut, 73 orang sesuai untuk pemantauan di rumah sebelum kemasukan ke hospital, 51 dirujuk ke hospital dan 241 telah discaj,” katanya.

Johor adalah negeri yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi dan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini hingga 26 Januari.

Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan PKP di enam negeri berkata negeri-negeri yang dikenakan PKP merupakan negeri berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum.

Semalam, Johor merekodkan 442 kes baharu menjadikan kes kumulatif di negeri ini ialah 10,761 kes. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button