Berita Utama

Kagum dengan Aerodyne, syarikat anak Melayu harumkan nama negara

Diasaskan oleh anak jati Kelantan, syarikat dron kedua terbesar di dunia

BANGI, 29 Jamadilawal 1442H, Rabu – Kerajaan sedang mempergiat usaha memperkukuhkan sektor pertanian tanpa berkompromi dengan kelestarian alam.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya meneroka peluang menggunakan teknologi dron secara meluas dalam sektor pertanian.

Beliau berkata, teknologi itu penting bagi membantu petani menggunakan kaedah pertanian lebih efisyen.

“Malah, ianya (teknologi dron) juga membantu mereka membuat keputusan dengan lebih tepat di sepanjang fasa tanaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, beliau pada semalam telah mengadakan lawatan ke Aerodyne Campus di Cyberjaya serta menerima taklimat yang dibentangkan oleh pengasas syarikat itu, Kamarulzaman Muhamad.

Katanya, beliau kagum kerana pengasas berkenaan yang juga anak kelahiran Tumpat, Kelantan berjaya mengharumkan nama negara ini.

“Alhamdulillah, Aerodyne adalah syarikat dron yang kedua terbesar di dunia dan yang pertama di Asia Tenggara yang juga bertaraf bumiputera Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, Aerodyne Group adalah peneraju syarikat teknologi multinasional di Malaysia dengan pengkhususan perkhidmatan dron dan pengurusan data di dalam bidang DT3 (Drone Technology, Data Technology & Digital Transformation).

Aerodyne kini telah berkembang dengan memiliki 400 kakitangan dan kini menduduki tempat ke-3 dalam Laporan Pembekal Perkhidmatan Dron Antarabangsa 2019 yang dikeluarkan oleh DRONE Industry Insight (DRONEII).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button