Berita Utama

Kebarangkalian kes menurun jika kurang aktiviti kontak fizikal

Kesan akan dilihat pada tempoh hujung pelaksanaan PKP

KUALA LUMPUR, 29 Jamadilawal 1442H, Rabu – Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pengisytiharan proklamasi darurat diharapkan dapat mengurangkan kes jangkitan COVID-19 di negara ini.

Keberangkalian kes menurun jika risiko pendedahan melalui aktiviti kontak fizikal dikurangkan, kata Pakar Epidemiologi dan Ketua Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Rohaizat Hassan.

Katanya, antara aktiviti yang dihadkan itu termasuk perhimpunan ramai serta merentas negeri.

“Namun, kesannya memerlukan sedikit masa memandangkan tempoh inkubasi virus adalah sekitar lima hingga 14 hari.

“Ini bermaksud, mereka yang sudah terdedah sekitar dua minggu lalu masih berpotensi positif dalam tempoh PKP ini.

“Kesan daripada PKP ini akan dapat dilihat pada tempoh di hujung PKP ini dan tempoh seterusnya,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Justeru, katanya, semua pihak perlu mematuhi arahan kerajaan sepanjang tempoh dua minggu PKP dilaksanakan.

“Menerusinya, ia dapat menilai sejauh mana keberkesanan tindakan drastik ini diambil bagi menurunkan bilangan dan kadar jangkitan COVID-19,” katanya.

Semalam, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat selepas mengambil kira rundingan baginda dengan Raja-Raja Melayu.

Ia antaranya mengambil kira keselamatan rakyat serta kepentingan negara dan berdasarkan statistik semasa Covid-19 yang dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.

Ia dilaksanakan sehingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka positif Covid-19 harian terkawal.

Terdahulu, kelmarin, Muhyiddin mengumumkan PKP untuk tempoh 14 hari bermula hari ini hingga 26 Januari.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button