Berita Utama

Papar gambar pemimpin komunis, pemilik kafe beri kenyataan

Kes disiasat mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 kerana terbitkan propaganda sebuah pertubuhan haram

GEORGE TOWN, 29 Jamadilawal 1442H, Rabu – Pemilik kafe yang didapati menggunakan kertas hias dinding (wallpaper) memaparkan wajah pemimpin komunis, Mao Tze Tong pada dua kafenya di Pulau Pinang, memberi kenyataan kepada polis hari ini.

Peguam pemilik kafe itu, Dev Kumaraendran berkata, anak guamnya seorang warga tempatan berusia 40 tahun manakala isterinya, warga China berusia 30-an, hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, untuk memberi keterangan dan membantu siasatan kes tersebut.

“Pasangan suami isteri itu hadir (untuk memberi kenyataan) selepas tamat menjalani kuarantin dan disahkan negatif COVID-19 pagi tadi…mereka tidak berniat untuk mengambarkan unsur-unsur komunisme menggunakan kertas dinding di kafe seperti yang didakwa pelbagai pihak.

“Tidak mungkin (niat untuk menggambarkan unsur komunisme). Tetapi sama ada, ada atau tidak, atau persepsi…itu terserah kepada siasatan pihak polis,” katanya kepada pemberita selepas hadir bersama pasangan suami isteri tersebut di sini, hari ini.

Katanya kafe di Pulau Tikus yang ditampal dengan kertas hias dinding, telah beroperasi sejak empat tahun lepas manakala sebuah lagi kafe di Juru, Bukit Mertajam, dekat sini, beroperasi sejak dua tahun lepas dan ia tidak pernah menjadi pertikaian, sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Ra’ais ketika dihubungi Bernama mengesahkan, pihaknya telah merekodkan keterangan pasangan suami isteri yang juga pemilik dua buah kafe tersebut bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

“Polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 kerana menerbitkan propaganda sebuah pertubuhan haram.

Selain itu, kes terbabit juga disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menerbit atau mengedarkan sebarang kenyataan, khabar angin atau laporan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Pada 2 Januari lepas, dua kafe itu menjadi tular di dalam laman sosial WhatsApp dan Facebook serta mendapat kecaman netizen selepas didakwa menggunakan karya lukisan yang mempunyai elemen komunis.

Susulan itu, polis telah menyerbu dan merampas pelbagai gambar serta cawan yang mempamerkan karikatur berunsurkan wajah pemimpin komunis di dua premis tersebut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button