Berita Utama

Hina Agong sebagai diktator satu provokatif jahat

Kenyataan Ruey Terng tak boleh dibiarkan tanpa hukuman

BANGI, 9 Rabiulawal 1442H, Isnin – Tindakan pemilik akaun Facebook dengan menggunakan nama Ho Ruey Terng menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai diktator disifatkan melampaui batas.

Perbuatan tidak senonoh itu juga dilihat sebagai satu provokasi berniat jahat yang boleh memudaratkan kehidupan harmoni di negara ini.

Pemerhati politik, Mohd Luttfi Abd Khalid berkata, setiap orang boleh mempunyai pandangan berbeza dan bertentangan dalam banyak perkara yang berlaku di negara ini.

Tetapi, katanya, ia ada satu garis tertentu yang tidak boleh dilampaui batas.

“Lelaki ini telah melampaui batas dan menyimpang daripada kesopanan, rasa hormat dan kesusilaan.

“Kenyataan menghasut ini tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang hukuman tidak kira apa etnik, bangsa atau agama sekali pun,” katanya dalam tulisan di laman Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial kenyataan dimuat naik Ruey Terng yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong sebagai diktator dan gagal menyelesaikan permasalahan yang wujud akibat penularan COVID-19.

Hari ini, polis dilaporkan menyiasat pemilik akaun itu selepas didapati memuat naik hantaran serta gambar menghina Agong.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kes terbabit.

Pada masa sama, Mohd Luttfi menegaskan, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Persekutuan Malaysia.

“Baginda juga merupakan unsur intrinsik dan penting dalam sejarah negara kita.

“Provokasi melulu serta berniat jahat ini langsung tidak membawa apa-apa tujuan yang positif,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button