Berita Utama

Rakyat jadi buah catur politikus tamak harta, pangkat

Pertelingkahan terus berlaku bertopengkan perjuangan Melayu, Islam

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 29 Jamadilawal 1442H, Rabu – Rakyat tidak ubah seperti buah catur yang digunakan golongan tertentu untuk kepuasan nafsu mereka yang mementingkan harta dan pangkat.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, pemerhati politik, Ustaz Sharipudin Ab Kadir berkata, pandemik COVID-19 telah menyingkap siapa mereka yang sebenar setelah sekian lama banyak tabir dan topeng melindungi.

“Selama ini mereka bertopengkan perjuangan Melayu dan Islam untuk mencapai ghairah yang tidak pernah padam.

“Percaturan politik terkini lagi menampakkan bahawa rakyat hanya dicaturkan di atas papan catur untuk kepentingan mereka.

“Apa nasib rakyat tidak menjadi perhitungan mereka. Apa yang penting impian ketamakan mereka terhadap harta dan pangkat dalam genggaman walau dengan apa cara sekalipun,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Sambil membidas, Ustaz Sharipudin berkata, permainan politik yang berdasarkan kepada nafsu serakah semata-mata akhirnya menyerlahkan sifat buruk pihak berkenaan.

“Pertelingkahan demi pertelingkahan, pergeseran demi pergeseran dalam kelompok mereka makin memualkan rakyat jelata.

“Contoh paling jelas PRN di Sabah telah meningkatkan secara mendadak wabak COVID-19. Kumpulan ini masih berusaha agar PRU diadakan segera beralasan kononnya untuk membentuk kerajaan yang kuat.

“Tidak dinafikan kerajaan sekarang agak lemah tetapi perkiraan kelompok ini bukannya untuk menguatkan kerajaan. Ini hanya topeng mereka yang telah digunakan sekian lama dengan rupa yang berlainan. Ini hanya satu contoh kecil sahaja untuk rakyat menilai semula siapa mereka yang sebenar,” katanya.

Atas dasar itu, Ustaz Sharipudin menggesa rakyat keluar dari percaturan mereka yang merugikan negara, bangsa dan agama.

Katanya, kerugian yang berterusan untuk tempoh yang panjang mungkin akan mengambil tempoh berkurun-kurun jika mereka masih lagi diberi kuasa untuk menentukan hala tuju negara, bangsa dan agama

“Ini kerana perjuangan kelompok ini diwarisi dari kelompok sebelum ini dan tidak mustahil ianya akan diwariskan lagi untuk generasi akan datang kalau membiarkan mereka terus berkuasa.

“Larangan syarak amat jelas rakyat tidak harus jatuh lubang yang sama dua kali,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button