Berita Utama

Timbalan Menteri KKMM positif COVID-19

Zahidi dilaporkan stabil, kini dirawat di Hospital Sungai Buloh

BANGI, 29 Jamadilawal 1442H, Rabu – Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menjadi anggota Kabinet keempat disahkan positif COVID-19.

Pejabat Timbalan Menteri KKMM memaklumkan bahawa Zahidi disahkan dijangkiti wabak itu setelah menerima keputusan ujian saringan awal pagi tadi.

Katanya, beliau menjalani ujian saringan COVID-19 sejurus tiba di Kuala Lumpur dari Pulau Pinang pada 11 Januari lalu.

Terdahulu, Zahidi pada 25 Disember 2020 telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan keputusannya ialah negatif.

“Beliau telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk menjalani rawatan lanjut mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“YB Datuk Zahidi kini berada dalam keadaan yang stabil dan memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul. Beliau juga berdoa agar Allah SWT mempermudah urusan semua yang terlibat,” kata pejabat itu dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, tiga menteri Kabinet iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin disahkan positif COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button