Berita Utama

‘Tuanku ulang kali ucap terima kasih beri bantuan di Pahang’

Inilah raja kami teramat baik dan mulia, berilah rahmat kepada baginda

BANGI, 29 Jamadilawal 1442H, Rabu – Terharu dan sebak. Demikian gambaran perasaan yang dikongsikan pendakwah dan sukarelawan terkenal, Ebit Irawan Ibrahim Liew atau Ebit Liew ketika dipelawa untuk makan bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini. 

Dalam perkongsian di Facebooknya, Ebit Liew berkata, beliau dipelawa untuk makan bersama Al-Sultan Abdullah selepas misi bantuan banjir di Temerloh, Pahang. 

“Selepas misi bantuan, rezeki Tuanku YDPA belanja makan ikan patin di Temerloh. Ya Allah malu sangat rasa sebab dari mula sampai akhir Tuanku YDPA layan dan jemput makan. 

“Dari mula minta baca doa sebelum makan. Tuanku ulang kali cakap ustaz terima kasih beri bantuan di negeri Pahang. Allahuakbar,” katanya. 

Ebit Liew berkata, bantuan mangsa banjir yang diberikan di Pahang hanyalah sedikit berbanding rombongan Al-Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong dan Pemangku Raja Pahang. 

“Selalu nampak rombongan Tuanku YDPA setiap hari beri bantuan banjir. Pecah tiga lagi. Tuanku YDPA, Permaisuri Agong dan Pemangku Raja. Dari pagi sampai lewat malam. 

“Lagi rasa malu bila tiba-tiba Tuanku bangun ajak kumpulan saya semua bergambar. Semua memang berdoa teringin nak bergambar. Allah kabulkan doa kami. 

“Ya Allah inilah raja kami yang teramat baik dan mulia. Berilah kebaikan dan rahmat kepada Tuanku dan keluarga. Terima kasih ya Allah temukan kami dengan Tuanku YDPA kami yang mulia,” katanya. 

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meluangkan masa menyantuni mangsa banjir di Kampun Buntut Pulau dan Kampung Tebal, Temerloh. 

Dalam lawatan itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan beramah mesra dan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir bagi meringankan beban yang ditanggung. 

Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button