Berita Utama

Bimbang PBD gagal, sukar direalisasi jika murid terlalu ramai dalam kelas

Patut ada persiapan rapi sebelum mansuh UPSR dan PT3

BANGI, 19 Zulkaedah 1443H, Ahad – Kemungkinan untuk Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) berjaya seperti yang direncanakan seperti sukar direalisasikan.

Lebih-lebih lagi jika struktur dan amalan kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) sama sahaja seperti sebelum pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), kata Dr Anuar Ahmad.

Justeru, Pensyarah kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berpandangan, tindakan kerajaan memansuhkan PT3, dan melaksanakan PBD langkah tergesa-gesa serta satu kesilapan.

“KPM nampaknya kurang bersedia dengan maklumat yang mudah, logik dan mesra ibu bapa untuk menjelaskan apa dan mengapa PBD diperlukan untuk mentaksir pembelajaran anak-anak mereka.

“Dalam keadaan ibu bapa masih kabur, tiba-tiba sahaja KPM mansuhkan UPSR dan PT3 sepenuhnya dan dilaksanakan PBD secara keseluruhannya. Sepatutnya dilakukan pelaksanaan PBD secara berfasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Pada masa sama, Dr Anuar mengakui tidak yakin PBD akan berjaya jika bilangan murid masih terlalu ramai di dalam kelas dan amalan pedagogi masih berorientasikan menjawab soalan peperiksaan dan aktiviti hafalan.

“Saya bimbang PBD akan gagal jika kita tidak mementingkan pembelajaran bermakna yang berasaskan aktiviti yang menyeronokkan murid-murid dan guru.

“Kegagalan PBD (jika berlaku) bukanlah kerana kelemahan para guru atau PBD adalah amalan pentaksiran yang tidak baik tetapi kegagalan PBD disebabkan kegagalan KPM membuat persiapan yang rapi dan teratur sebelum memansuhkan UPSR dan PT3,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button