Berita Utama

Anwar ‘ajak’ semua MP hantar surat pada Agong, mohon batal darurat

Mahu sidang Parlimen diadakan segera sebelum 31 Januari

BANGI, 1 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya semua Ahli Parlimen menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan Baginda membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Ketua Pembangkang itu berkata, beliau sudah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen supaya mereka berbuat demikian dalam kadar segera.

Katanya, warkah terbabit juga hendaklah disesuaikan menurut pertimbangan mereka atau parti.

“Semoga warkah ini nanti mendapat ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik pengisytiharan darurat.

“…dan seterusnya menitahkan agar sidang Parlimen harus diadakan dalam kadar segera sebelum 31 Januari 2021 untuk membahaskan isu darurat, COVID-19 dan kemelut ekonomi yang melanda negara,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR dilaporkan berkata, perundangan dan peruntukan sedia, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), cukup untuk mengekang penularan COVID-19.

Selasa lalu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Seri Paduka turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Khas Bebas yang akan dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan bagi mengendali perjalanan darurat negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button