Berita Utama

Darurat kekang kerakusan golongan politikus

Pimpinan parti perlu didik rakyat hormati darurat diperkenan YDPA

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 1 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Proklamasi darurat sewajarnya tidak dinilai dengan kaca mata parti politik kerana ianya akan dilihat dengan pelbagai tafsiran mengikut selera sesebuah parti politik itu sendiri.

Sebaliknya, kata Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim, ia perlu dilihat sebagai satu usaha untuk membantu negara yang kini sedang dilanda beberapa krisis termasuk politik, ekonomi dan yang paling kritikal adalah kesihatan. 

“Bagaimana kerajaan mampu memfokuskan kepada peningkatan dan pemulihan ekonomi sedangkan ketamakan dan kerakusan ahli politik menyebabkan politik negara tidak stabil.

“Peningkatan ekonomi negara pula sangat berkait rapat dengan kestabilan politik tanah air.

“Kemelut politik hari ini terlalu tidak terkawal. Bagi saya pimpinan parti tidak lagi ghairah membawa agenda watan tetapi sebaliknya rakus membawa agenda peribadi dengan menggunakan nama parti,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Ustaz Zamani menegaskan, BERJASA berpandangan bahawa dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan proklamasi darurat ini, ia bukan sahaja dapat membantu krisis ekonomi dan kesihatan tetapi juga sekali gus dapat mengekang sementara ketamakan dan kerakusan ahli-ahli politik yang memberi kesan kepada fokus kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara. 

“Ketamakan dan kerakusan ahli politik berpolitik agak sukar ditamatkan kecuali pemimpin yang tamak dan rakus itu ditamatkan kerjaya politiknya.

“Suasana ketenangan tanpa gangguan akan mampu membantu pihak kerajaan untuk menunaikan tanggungjawab yang sempurna demi maslahah rakyat,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata bahawa BERJASA berharap semua pimpinan parti dapat mendidik rakyat supaya menghormati proklamasi darurat yang telah diperkenankan oleh Seri Paduka. 

“Inilah istimewanya watan ini kerana sentiasa menjunjung institusi raja selari dan serasi dengan Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button