Berita Utama

Hanya kematian stage 4, 5 dikira dalam statistik COVID-19

Jika ragu boleh adu di SISPAA, elak timbul sebarang spekulasi

BANGI, 1 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Statistik kematian akibat wabak pandemik COVID-19 ditentukan melalui beberapa peringkat penilaian daripada pakar dan klasifikasi kes.

Pakar Anaesthesiologi dan Rawatan Rapi, Dr Nurilyani Bujang menjelaskan, setiap kematian perlu melalui proses perbincangan oleh pakar sebelum bersepakat menghantar data ke pusat.

Oleh sebab itu, katanya, proses berkenaan akan mengambil masa kerana perbincangan pakar perlu melihat setiap kes kematian sama ada disebabkan COVID-19 atau sebaliknya.

“Contoh satu, kemalangan sehingga patah riuk, pendarahan sana sini. Mati disebabkan kemalangan, tetapi sewaktu disaring, positif COVID-19.

“Mungkin pesakit hanyalah ‘stage 1’ COVID-19 yang tidak mempunyai simptom. 

“Penyebab kematian akan diklasifikasi sebagai kemalangan, namun mayat tetap kena urus macam COVID-19 sebab ianya berjangkit. Ahli keluarga juga kena swab dan kuarantin,” katanya.

Perkara itu dijelaskan oleh Dr Nurilyani dalam satu hantaran di Facebook yang turut dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Penjelasan itu sebagai menjawab kekeliruan seorang pengguna Facebook terhadap jumlah kematian yang dilaporkan oleh pihak KKM setiap hari, berikutan terdapat ahli keluarganya yang meninggal dunia dan disahkan dijangkiti COVID-19 tidak disenaraikan dalam statistik tersebut.

Mengulas lanjut, Dr Nurilyani turut memberikan contoh kedua membabitkan kes pesakit COVID-19 ‘stage 5’ yang pernah dirawat di hospital selama tiga bulan akibat wabak itu.

Setelah tempoh itu, katanya, pesakit terbabit disahkan negatif COVID-19, namun meninggal dunia kerana jangkitan kuman bawaan lain.

“Maka pesakit ini dikira sebagai kematian bukan COVID-19, walaupun dia masuk awal tiga bulan lalu sebab COVID.

“Contoh ketiga, masuk hospital kerana ‘heart attack’, dan waktu saringan didapati positif COVID-19,” katanya.

Maka, katanya, pesakit terbabit diklasifikasi mati kerana serangan jantung tetapi mayatnya perlu diurus seperti pesakit COVID-19.

“Jadi, kematian macam mana yang dikira dalam statistik COVID-19? Jawapannya ialah kematian ‘stage 4, 5’.

“Untuk yang bertanya di media sosial, saya cadangkan untuk kepastian lebih baik tanya di hospital.

“Atau boleh juga buat aduan melalui laman web SISPAA. Ini penting supaya keraguan anda terjawab, anda tidak diselubungi tanda tanya dan ianya tidak menimbulkan spekulasi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button