Berita UtamaDunia

Lubnan bakal terima RM995 juta daripada Bank Dunia

Isi rumah layak diberi bantuan akan terima lebih RM500 setiap bulan

BEIRUT, 1 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Lubnan dijangka menerima AS$246 juta (RM995 juta) dalam kadar segera dari Bank Dunia, lapor New Arab.

Pakej bantuan yang akan membantu sekitar 786,000 rakyat Lubnan terjejas susulan krisis ekonomi negara itu, telah diluluskan oleh Bank Dunia semalam.

Lubnan kini sedang menghadapi krisis ekonomi dan kewangan terburuk sejak berakhirnya perang saudara pada tahun 1990 dan berjuang untuk mengatasi lonjakan kes coronavirus.

“Lubnan telah menghadapi krisis yang rumit dan belum pernah terjadi sebelumnya. Krisis ekonomi dan kewangan yang teruk menyebabkan penurunan KDNK yang diunjurkan 19.2 peratus pada tahun 2020, inflasi tiga digit dan peningkatan kemiskinan menjadi 45 peratus dan kemiskinan tegar hingga 22 peratus,” kata Bank Dunia dalam satu kenyataan.

Pakej bantuan yang baru diumumkan itu akan memberi manfaat buat 147,000 isi rumah miskin di Lubnan dengan bantuan wang tunai selama setahun, menurut kenyataan itu.

“Isi rumah yang layak akan menerima bantuan bulanan sebanyak 100,000 pound Lubnan (kira-kira RM267) untuk setiap ahli isi rumah, selain jumlah tetap 200,000 pound Lubnan (RM535) setiap isi rumah.”

Projek ini juga akan membekalkan pelajar sekolah menengah wang tunai untuk menampung kos yuran, buku teks, pengangkutan dan perbelanjaan seragam.

Lubnan memasuki tempoh perintah berkurung, untuk 11 hari mulai hari ini, apabila kes coronavirus melonjak setelah peraturan dilonggarkan sepanjang tempoh Krismas.

Kelmarin, Lubnan menyaksikan jumlah kematian meningkat kepada 1,661 orang.

Sebanyak 226,948 kes telah dikesan di Lubnan sejak wabak berkenan sampai di negara Mediterranean itu pada akhir Februari.

Lonjakan jangkitan juga telah mengancam sistem perubatan Lubnan yang lemah, penurunan bekalan perubatan dan kenaikan tarif import sejak awal tahun lalu.

Beberapa hari kebelakangan ini, doktor dilihat merawat pesakit di tempat letak kereta hospital di seluruh negara kerana kekurangan tempat tidur.

Presiden Michel Aoun mengatakan : “Kami telah melihat pemandangan mengerikan warga yang menunggu di depan hospital untuk kerusi atau tempat tidur.”

Sementara itu, semakin ramai rakyat Lubnan berusaha untuk meninggalkan negara yang dilanda krisis sejak letupan besar menghancurkan ibu kota pada bulan Ogos. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button