Berita Utama

‘Paling kurang 4 minggu PKP untuk turunkan kes harian’

Kawalan ketat rentas negeri kurangkan risiko penularan lokal

BANGI, 1 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) yakin kes harian COVID-19 dapat dikurangkan susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun dalam hal ini, pengurangan kes bergantung kepada pematuhan rakyat, kawalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam sektor ekonomi yang berisiko serta kewujudan mutasi virus yang berisiko tinggi seperti dari United Kingdom (UK), kata Naib Presiden I-Medik, Dr Rozanizam Zakaria.

“Saya optimis bahawa kes dapat dikurangkan dalam tempoh empat minggu.

“Ini berdasarkan PKP bersasar bagi negeri berisiko tinggi dan pendekatan baharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjalankan saringan bersasar hanya melibatkan pesakit bergejala.

“Bahkan pengalaman PKP 1.0 dan pengalaman banyak negara dengan kaedah lockdown serta kawalan ketat rentas negeri yang mengurangkan risiko penularan lokal,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Sekiranya kes tidak terkawal juga, Dr Rozanizam menggesa pendekatan langkah-langkah pencegahan disemak semula.

“Kemungkinan PKP seluruh negara,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negara memerlukan sekurang-kurangnya empat minggu untuk mengurangkan kes harian sehingga 1,000 sehari.

Pihaknya berharap agar kes boleh dikurangkan lagi sehingga 500 dalam tempoh berkenaan bagi memberi peluang kepada semua kemudahan kesihatan berupaya menampung dan merawat pesakit COVID-19 di negara ini.

Katanya, dalam tempoh dua minggu ini, KKM akan melihat data jangkitan COVID-19 untuk mengetahui sama tempoh PKP yang bermula Rabu lepas, dapat mengurangkan kes jangkitan baharu.

Malaysia sekali lagi mencatatkan kes baharu tertinggi hari ini, iaitu 3,337 kes menjadikan jumlah kumulatif COVID-19 147,855 kes.

Lebih 70 peratus atau 2,519 kes daripada jangkitan itu berlaku di enam negeri yang dikenakan PKP.

Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat tujuh kes import atau jangkitan dari luar negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button