Berita Utama

4 sekeluarga rentung dalam kebakaran rumah di Penampang

90 peratus daripada rumah teres dua tingkat terbakar

PENAMPANG, 29 Muharram 1443H, Selasa – Empat sekeluarga terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan, ditemukan rentung dalam sebuah rumah teres dua tingkat yang terbakar di Taman Hungap, di sini awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.52 pagi, sebelum berjaya mengawal kebakaran pada jam 3.40 pagi.

Beliau berkata, mangsa kebakaran dikenal pasti sebagai pasangan Matthew Wong, 50; dan Jecky Vun Kon Fung, 48; bersama dua anak mereka Brendan Wong, 18; dan Eric Wong, 15.

“Pada awalnya kita diberitahu jiran mungkin penghuni rumah itu masih di dalam dan selepas JBPM berjaya mengawal kebakaran dan membuat pemeriksaan kebakaran rumah tersebut, empat mangsa itu ditemukan rentung kira-kira 5 pagi tadi.

“Operasi di tempat kejadian ditamatkan pada jam 6.10 pagi tadi dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Misran berkata, 90 peratus daripada rumah teres itu terbakar, selain dua buah kenderaan yang terbakar 10 peratus. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button