PKP: Jumlah pelancong ke Kedah dijangka merosot 70 peratus
Pemilik hotel tawar potongan hampir 50 peratus kepada rakyat Kedah

ALOR SETAR, 1 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Jumlah ketibaan pelancong di Kedah dijangka merosot lebih 70 peratus sepanjang pelaksanaan larangan rentas negeri yang berkuat kuasa semalam hingga 26 Januari ini.
Pengurus Kedah Tourism, Nor Azlan Fitri Abdul Razak berkata ramai pelancong dari luar negeri itu terpaksa membatalkan tempahan hotel dan pakej percutian yang dibuat, terutama di Langkawi, sebelum perintah tersebut diumumkan.
“Ramai pelancong terutamanya dari negeri-negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti Lembah Klang dan Pulau Pinang terpaksa membatalkan tempahan apabila larangan rentas negeri dikuatkuasakan di seluruh Malaysia.
“Pemilik hotel di Kedah turut terjejas apabila tempahan untuk mengadakan seminar, kursus, mesyuarat dan majlis keraian di premis mereka terpaksa dibatalkan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Nor Azlan Fitri berkata, trip perjalanan feri ke Pulau Langkawi juga dihadkan kepada hanya satu perjalanan dari Jeti Kuala Kedah ke Langkawi setiap hari, manakala perkhidmatan feri di Jeti Kuala Perlis tidak beroperasi sepanjang tempoh PKP Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di negeri itu.
“Jumlah trip perjalanan feri yang terhad ini juga memberi kesan kepada jumlah pelancong ke Langkawi. Jadi, bagi menarik rakyat Kedah untuk melancong di dalam negeri ini, Kedah Tourism sedang giat mempromosikan kempen #JomMaiKedah melalui platform media sosial.
“Banyak promosi yang dilakukan oleh penggiat industri pelancongan terutamanya pemilik hotel bagi menarik rakyat Kedah untuk bercuti dalam negeri. Pemilik hotel juga menawarkan potongan hampir 50 peratus kepada rakyat negeri ini,” katanya. – Bernama