Berita Utama

Relawan Muda ISMA bantu hantar 1 juta liter air kepada mangsa banjir

Dianggarkan 210,000 liter air sudah disalur ke seluruh Pahang

KUALA LUMPUR, 1 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Relawan Muda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) bekerjasama dengan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) membantu membekalkan satu juta liter bekalan air bersih kepada mangsa banjir yang terjejas di Pahang.

Ketua Koordinator Bencana Relawan Muda ISMA, Mohd Soufi Annual berkata, kerjasama berkenaan diharap dapat mengatasi masalah sedang dihadapi dari sudut pengurusan penghantaran tangki air statik dan lori tangki air ke Pahang.

Beliau berkata, buat permulaan pihaknya membantu menguruskan penghantaran dua lori tangki berkapasiti 70,000 liter air bagi kegunaan PAIP untuk membawa air bersih ke beberapa rumah air di sekitar kawasan terjejas.

“Sepuluh tangki air statik berkapasiti 2,000 liter dihantar ke Raub hasil sumbangan Yayasan Maghfirah dan Aman Palestin. Setakat semalam, dianggarkan sebanyak 210,000 liter air sudah disalurkan ke seluruh negeri Pahang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Roslan Abdul Rahman berkata, hari ini pihak Relawan Muda ISMA akan membawa 60 tangki air statik yang dipinjamkan oleh Pengurusan Air Selangor ke Temerloh dan Pekan yang memanfaatkan sebanyak 200,000 mangsa banjir di seluruh negeri Pahang.

“Hari ini pihak Pengurusan Air Selangor sudi meminjamkan tangki air statik dan kita sedang menguruskan penghantaran ke penempatan sementara mangsa banjir.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Air Selangor, ISMA dan Yayasan Maghfirah kerana membantu PAIP, kami mengalu-alukan bantuan,” katanya ketika ditemui semasa proses penghantaran tangki air statik menggunakan empat buah treler panjang di pejabat Pengurusan Air Selangor Selayang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button