Berita Utama

Rumah musnah akibat banjir, Ebit Liew bantu keluarga di Raub

'Sedih rasa, sabar ya, di sebalik ujian ada rahmat Allah'

RAUB, 1 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Usaha dan kegigihan pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Liew dalam membantu golongan memerlukan terus memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia dan menjadi perhatian ramai.

Terbaharu, dalam usaha membantu mangsa banjir di Pahang, beliau yang juga seorang usahawan bertemu dengan sebuah keluarga yang terpaksa tinggal di salah satu pusat pemindahan sementara (PPS) meskipun keluarga lain sudah pulang ke kediaman masing-masing.

Dalam perkongsian di laman Facebooknya, Ebit berkata, situasi itu berlaku berikutan rumah keluarga berkenaan musnah dalam bencana banjir dan tidak lagi boleh didiami. 

“Sedih rasa. Semalam terus ke Raub dari Temerloh bila dapat berita mesej dari komen Facebook sebuah keluarga masih tinggal di salah satu pusat pemindahan banjir sedangkan keluarga lain semua dah balik. 

“Sudah tiada tempat nak dituju. Rumahnya semua dah musnah. Barang berniaga untuk jualan pagi semua musnah. Tiada apa lagi tinggal. 

“Rumah itu dalamnya semua dah musnah. Langsung tak boleh duduk. Sampai semalam abang kakak ni menangis,” katanya, hari ini.

Ebit berkata, semalam, ketua kampung telah membawanya melawat keluarga tersebut bagi melihat keadaan rumah mereka. 

Pada ketika itu juga, Ebit bersama pasukannya mengambil inisiatif mencari rumah sewa baharu yang boleh didiami keluarga tersebut. 

Katanya, beliau bertemu dengan tuan rumah yang baik dan menyewakan sebuah rumah untuk keluarga malang itu.

“Sampai waktu Maghrib. Syukur terus carikan rumah sewa yang saya akan bayar sewa. Semalam siap bayar deposit semua. Saya hadiahkan abang kakak ini peti ais, mesin basuh, katil, kipas, periuk nasi, dapur dan barang lain untuk keperluan berniaga. 

“Abang, kakak dan anak-anak tersenyum mengalir air mata. Kata mereka, rezeki dapat jumpa ustaz. Allah takdirkan kak. Doa akak dan abang. Sabar ya. Di sebalik ujian ada rahmat Allah,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button