Berita Utama

Tiada pihak ke-3 dilantik urus Program Rekalibrasi: Imigresen

Orang ramai dinasihat tak berurus dengan pihak dakwa sebagai ejen

KUALA LUMPUR, 1 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Jabatan Imigresen tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk menguruskan Program Rekalibrasi bagi pendaftaran pekerja asing di negara ini.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak berurusan dengan pihak yang mendakwa sebagai ejen dan pihak ketiga yang menawarkan perkhidmatan tersebut dengan kadar bayaran tertentu.

“Pendaftaran program ini boleh dibuat secara terus di laman web www.imi.gov.my,” kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan hari ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung program itu boleh mendapatkan maklumat menerusi Sistem Pertanyaan Online (SPO) di http://eapp.imi.gov.my/spo.

Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin yang mengandungi dua komponen utama, iaitu Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, telah bermula pada 16 Nov 2020 dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia serta agensi kerajaan lain tanpa penglibatan vendor atau pihak ketiga.

Program Rekalibrasi Pulang membenarkan pendatang tanpa izin pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat yang ditetapkan, manakala Program Rekalibrasi Tenaga Kerja adalah program untuk membolehkan pendatang tanpa izin dijadikan pekerja asing yang sah di negara ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button