Berita Utama

12 bank tawar bantuan untuk mangsa banjir

Ini termasuk kelonggaran pembayaran balik pinjaman selama 6 bulan

KUALA LUMPUR, 2 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Sebanyak 12 bank telah menyahut gesaan membabitkan pemberian bantuan dalam bentuk moratorium serta berkaitan banjir bagi membantu mangsa-mangsa bencana terbabit.

Kejadian banjir itu telah menjejaskan negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Sabah dan terbaharu di Sarawak.

Susulan itu, sejak Isnin lepas institusi kewangan seperti Affin Bank Bhd, RHB Bank Bhd, Public Bank Bhd, Malayan Bank Bhd, Bank Simpanan Nasional Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd, CIMB Bank Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, Alliance Bank Malaysia Bhd, Hong Leong Bank Bhd, SME Bank Bhd dan OCBC Bank Bhd telah menawarkan bantuan bagi pelanggan masing-masing.

Ini termasuk kelonggaran pembayaran balik pinjaman/pembiayaan atau moratorium sehingga enam bulan selain membenarkan penangguhan ansuran pinjaman dan pengecualian caj bayaran lewat.

Affin Bank, CIMB, Hong Leong dan OCBC pula bertindak menderma sejumlah RM1.1 juta kepada agensi-agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan.

Dalam pada itu, pengisytiharan darurat bagi membendung penularan COVID-19 pada Selasa lepas turut mendorong Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Hutang Kredit, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia, turut tampil menawarkan bantuan.

PIAM misalnya telah memberi jaminan kepada mangsa banjir yang mempunyai perlindungan insurans banjir bahawa ahli-ahlinya bersedia untuk mempercepatkan proses tuntutan dan bayaran kerugian akibat bencana tersebut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button