Berita Utama

86,500 kg bawang dari China, Pakistan dirampas

Dirampas kerana tidak mematuhi sijil perakuan 3P MAQIS

SHAH ALAM,  2 Jamadilawal 1442H, Jumaat –  Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor merampas 86,500 kilogram bawang merah dan bawang kuning dari China serta Pakistan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada Selasa lepas.

Pengarah MAQIS Selangor Dr Tarmisal Alimin berkata,  rampasan barangan yang dimuatkan di dalam dua kontena itu dilakukan selepas pemeriksaan pegawai penguat kuasa kira-kira pukul 11.30 pagi.

“Bawang merah dan bawang kuning itu dianggarkan bernilai RM179,822. Ia dirampas kerana tidak mematuhi sijil perakuan 3P dalam syarat permit import MAQIS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tarmisal berkata, kegagalan syarikat pengimport mengemukakan maklumat itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius isu membabitkan  keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam kelestarian makanan negara. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button