Berita Utama

Ahli Parlimen bantah darurat dicabar dedah diri

‘Kita lihat sama ada mereka cakap serupa bikin atau hanya 'menyakat-nyakat' sahaja selama ini’

BANGI, 2 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya menggesa setiap Ahli Parlimen yang mahu mengutus surat bantahan darurat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk berani mengisytiharkan bahawa mereka telah berbuat demikian.

Beliau berkata, perkembangan ini amat menarik untuk diperhatikan secara rapat bagi mengetahui Ahli Parlimen manakah yang benar-benar menolak darurat. 

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua Ahli Parlimen mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon agar pengisytiharan darurat dibatalkan dan Parlimen bersidang secepat mungkin.

Dalam surat yang dihantar kepada Ahli Parlimen, Anwar meminta mereka menulis warkah tersebut Jumaat ini supaya Parlimen dapat bersidang sebelum 31 Januari.

Aminuddin berkata, lebih menarik perhatian adalah untuk melihat sejauh manakah ‘sebahagian besar’ Ahli-ahli Parlimen kerajaan yang sebelum ini bersungguh-sungguh membantah darurat dan mahukan pilihan raya diadakan segera

“Apakah mereka benar-benar ‘cakap serupa bikin’ atau hanya ‘menyakat-nyakat’ sahaja selama ini? Jangan ada yang berselindung atau hantar ‘sorok-sorok’.

“Jika ini yang anda percaya dan perjuangkan, maka tidak perlu malu. Dan akhirnya, kita mahu tahu ‘once and for all’ berapakah jumlah Ahli Parlimen yang benar-benar membantah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini, sambil mencabar setiap Ahli Parlimen yang berbuat demikian untuk berani mendedahkan diri.

Pada masa sama, Aminuddin berkata, situasi ini sekali gus menandakan bahawa Anwar menolak pembentukan suatu Jawatankuasa Khas Bebas yang akan dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan bagi mengendali perjalanan darurat negara.

“Kita juga mahu tahu apakah alternatif kepada pengisytiharaan darurat, jika mereka membantah. Apakah jaminan agar pilihan raya tidak terpaksa diadakan sewaktu penularan kes COVID-19 sedang tinggi ini? 

“Mengapakah tidak dituntut sahaja agar janji pilihan raya benar-benar akan dilakukan sebaik sahaja kes COVID-19 reda sahaja? 

“Sebenarnya kita ternanti-nanti juga satu cadangan yang konklusif dari mereka yang membantah darurat ini kerana terlalu banyak spekulasi yang akhirnya mengelirukan rakyat sahaja,” katanya.

Dalam memo kepada Ahli Parlimen bertarikh 14 Januari itu, Anwar berkata, Perdana Menteri dan kerajaan telah terlanjur dan tersasar dalam menyampaikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Perdana menteri lebih tertumpu kepada usaha mempertahankan kuasa,” dakwanya.

Anwar juga berkata, bahawa darurat pastinya akan menyebabkan kedudukan ekonomi tambah meruncing.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button