Berita UtamaIstimewa

Anwar patut ‘didik’ rakan MP taat setia pada Agong, bukan sibuk bangkang

Jangan terburu-buru bawa agenda politik peribadi

BANGI, 2 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – “Tugas ketua pembangkang bukan hanya membangkang, sehingga proklamasi darurat yang telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pun hendak dibangkang.”

Demikian sindiran Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim terhadap cadangan tidak masuk akal Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, ketua pembangkang itu meminta semua Ahli Parlimen menghantar surat kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon perkenan Baginda membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR itu dikatakan sudah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen supaya mereka berbuat demikian dalam kadar segera.

Katanya, warkah terbabit juga hendaklah disesuaikan menurut pertimbangan mereka atau parti.

“Apa tujuan yang tersirat sehingga Anwar meminta semua Ahli Parlimen menghantar surat kepada Agong untuk mohon batalkan darurat tersebut.

“Tujuan proklamasi darurat telah dijelaskan demi maslahah atau kepentingan keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Jadi, Anwar tidak perlu terburu buru dalam membawa agenda politik peribadinya dan ingin sangat kerajaan PN terumbang-ambing tidak stabil,” kata Ustaz Zamani ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Justeru, beliau berpandangan sebagai ketua pembangkang, Anwar mesti mendidik rakan rakan Ahli Parlimen untuk menunjukkan taat setia kepada Agong.

“Tiada janggalnya barisan pembangkang menunjukkan kesungguhan untuk berganding bahu membantu negara dan rakyat dalam apa jua masalah yang dihadapi.

“Tapi, sebagai ketua pembangkang, watak negarawan amat penting diserlahkan dan sentiasa melihat kepentingan rakyat dan negara menjadi keutamaan,” katanya.

Sebelum ini, Anwar bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAN, Mohamad Sabu dalam kenyataan bersama menganggap undang-undang sedia ada termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memadai untuk menangani wabak COVID-19.

Menurut kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), kuasa darurat ini bermakna memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri untuk melakukan hampir apa sahaja, sewenang-wenangnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button