Berita UtamaDunia

Arab Saudi didakwa intip perbualan peribadi, lokasi rakyat sendiri

Tawakkalna, Tetamman adalah 2 aplikasi dimuat turun pantau COVID-19

RIYADH, 2 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Pakar teknologi mendakwa pihak berkuasa Arab Saudi mengeksploitasi ketakutan rakyatnya terhadap COVID-19 melalui dua aplikasi dimuat turun mereka, yang mengaku menguji dan mengawasi jangkitan virus, tetapi sebenarnya mengintip pengguna.

Rangkaian berita televisyen Nabaa yang berpusat di London dan berbahasa Arab, memetik pakar yang tidak disebutkan namanya, melaporkan bahawa aplikasi ‘Tawakkalna’ dan ‘Tetamman’ sebenarnya adalah perisian intip yang dirancang khusus untuk mengumpulkan data geolokasi masa nyata, memantau pergerakan pengguna mereka dan mengintip komunikasi peribadi.

Aplikasi tersebut dilaporkan dibangunkan masing-masing oleh Pusat Maklumat Nasional Arab Saudi dan Kementerian Kesihatan.

Tawakkalna memberikan maklumat secara langsung mengenai jumlah jangkitan COVID-19 di negara itu, dan membantu dalam pengesanan awal kemungkinan jangkitan setelah pengguna menunjukkan gejala wabak tersebut.

Melalui aplikasi tersebut, pengguna kononnya dapat melaporkan kes yang disyaki COVID-19.

Tetamman pula kononnya bertujuan untuk memperkuat komitmen semua rakyat dan penduduk Arab Saudi yang diarahkan untuk mengasingkan diri, dan mengikut perkembangan lanjut kes mereka.

Sebelum ini, satu laporan mengatakan bahawa syarikat yang berkaitan dengan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggodam telefon berpuluh-puluh wartawan Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar menggunakan perisian intip Israel.

Manakala, siasatan inovatif oleh The Guardian pada akhir Mac tahun lalu mendedahkan banyak percubaan Arab Saudi untuk menggodam telefon rakyatnya selama mereka tinggal di Amerika Syarikat (AS).

Menurut The Guardian, pakar siber Arab Saudi menggunakan kelemahan dalam rangkaian telekomunikasi mudah alih global untuk terus memantau pergerakan rakyat negara itu, yang menggunakan telefon bimbit Arab Saudi ketika berada di luar negara.

Arab Saudi dilaporkan telah membeli perisian pengintip bernilai AS$300 juta (RM1.2 bilion) dari Israel untuk mengintip rakyatnya sendiri dan mengesan pembela hak asasi manusia.

 

Seorang pemberi maklumat memberitahu akhbar harian Britain bahawa sistem pesanan mesej global turut menerima tempiasnya dan terkesan dengan beberapa kelemahan akibat daripada ‘kempen pengawasan yang teratur’ oleh Arab Saudi.

Menurut pemberi maklumat, kecurigaan muncul ketika sistem itu menerima permintaan ‘location tracking’ dalam jumlah yang sangat tinggi, semuanya muncul dari Arab Saudi dan berkaitan dengan warga Arab Saudi yang berada di AS.

Arab Saudi telah meningkatkan penangkapan, pendakwaan dan sabitan bermotifkan politik terhadap pembangkang dan pejuang hak asasi manusia.

Selama bertahun-tahun terakhir, Riyadh juga telah mentakrifkan semula undang-undang antiterorisme untuk menyasarkan aktivisme. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button