Berita UtamaDunia

Gempa bumi Sulawesi: Angka korban 34, ada mangsa tertimbus di bawah bangunan

Penyelamat cari 8 sekeluarga terperangkap di bawah runtuhan

JAKARTA, 2 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Angka korban gempa bumi di pulau Sulawesi Barat Indonesia kini meningkat kepada 34 orang.

Pada masa sama, ratusan mangsa dilaporkan cedera, sekali gus mencetuskan panik dan ketakutan dalam kalangan penduduk di pulau berkenaan.

Sebelum ini, pulau Sulawesi yang pernah dilanda gempa bumi dan tsunami pada September 2018 telah meragut ribuan nyawa.

Menurut pihak berkuasa, gempa bumi berukuran 6.2 skala Ritcher itu telah meranapkan hospital serta merosakkan bangunan di kawasan berkenaan.

Ketua Agensi Mitigasi Bencana, Ali Rahman, berkata, 26 mangsa membabitkan korban di bandar Mamuju.

“Angka korban dijangka terus meningkat tetapi kita berharap ia tidak berlaku. Banyak mangsa yang mati tertimbus di bawah runtuhan bangunan,” katanya.

Pada masa sama, Agensi Bencana Kebangsaan berkata, kira-kira lapan mangsa terkorban di selatan Mamuju di wilayah Sulawesi Barat.

Anggota mencari dan menyelamat turut berusaha mengesan puluhan pesakit dan kakitangan hospital yang terperangkap di bawah runtuhan hospital.

Malah, anggota penyelamat berusaha mencari lapan sekeluarga yang terperangkap di bawah runtuhan sebuah rumah.

Agensi mencari dan menyelamat berkata, kira-kira sebuah hotel runtuh selepas gempa bumi melanda pada jam 2.18 pagi (waktu tempatan), manakala pejabat gabenor wilayah turut mengalami kerosakan teruk.

Penduduk Mamuju berkata, kerosakan di bandar itu sangat teruk.

“Jalan retak dan banyak bangunan runtuh. Gempa bumi sangat kuat… saya bangun dan lari bersama isteri,” katanya Hendra, 28.

Selain itu, agensi meteorologi memberi amaran ancaman gempa susulan yang kuat kepada penduduk, selain meminta mereka tidak ke kawasan pantai.

Ketua Agensi Meteorologi, Dwikorita Karnawati berkata, gempa susulan itu boleh berlaku lebih kuat atau sekuat yang berlaku pagi tadi.

“Adanya potensi berlaku tsunami kesan daripada gempa susulan ini, jangan tunggu hingga berlakunya tsunami kerana ia boleh jadi dengan pantas,” katanya.

Pihak berkuasa berkata, lapangan terbang di Mamuju iaitu bandar di wilayah Sulawesi Barat, Indonesia turut terjejas akibat bencana itu.

Menurut Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa adalah pada jarak 36 kilometer dari selatan Mamuju dengan kedalaman secara relatifnya 18 kilometer.

Indonesia dilaporkan kerap berlaku aktiviti gunung berapi dan gegaran susulan kedudukannya di lingkaran api Pasifik, di mana plat tektonik bertembung. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button