Berita UtamaDunia

Israel lulus pembinaan bangunan kedutaan AS di Baitulmaqdis

Biden tak rancang pindah kembali kedutaan ke Tel Aviv

BAITULMAQDIS, 2 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Jawatankuasa Perancangan dan Bangunan Daerah Israel di Baitulmaqdis telah mengumumkan persetujuannya untuk pembinaan bangunan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) yang baharu di bandar itu, lapor AP.  

Lokasi bangunan baharu akan berada di Jalan Hebron, dan tidak jauh dari lokasi kedutaan sementara sekarang.

Dalam satu kenyataan di Twitter, Timbalan Datuk Bandar Baitulmaqdis, Fleur Hassan-Nahoum berkata, walaupun jawatankuasa lain masih harus memberikan persetujuannya, beliau mengharapkan ini akan terjadi dalam beberapa minggu akan datang.  

“Setelah dua tahun, kami gembira jawatankuasa perancang tempatan akhirnya menyetujuinya.

“Kami telah menunggu waktu yang sangat lama dan kami gembira ia akhirnya berlalu,” kata Hassan-Nahoum.  

Sementara itu, Datuk Bandar Baitulmaqdis, Moshe Lion menyifatkan keputusan itu ‘bersejarah dan menarik.’

Beliau berpendapat bahawa itu akan menginspirasikan negara-negara lain untuk memindahkan kedutaan mereka dari Tel Aviv ke kota yang diduduki yang dituntut oleh Israel sebagai ibu negarnanya.

“Saya berpendapat bahawa langkah tambahan ini untuk mengukuhkan lokasi kedutaan dan perpindahan berterusan ke ibu negara adalah perkembangan pertama wakil diplomatik lain yang akan berpindah ke ibu negara ini.

“Kedutaan di tapak Allenby akan dibina di atas landasan kereta api dan memperkuat pembangunan kota untuk penduduknya dan ini mengikuti rancangan induk Talpiot yang telah diluluskan beberapa waktu lalu,” katanya.

Presiden AS, Donald Trump memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis pada tahun 2018, dalam langkah dasar luar yang bertentangan dengan konsensus antarabangsa selama puluhan tahun.  

Beliau juga menggembirakan para pemimpin Israel namun membuat rakyat Palestin dan seluruh umat Islam berang kerana mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Lebih-lebih lagi, Duta Besar AS ke Israel, David Friedman memindahkan pejabat utamanya ke konsulat AS yang ada di Arnona pada tahun berikutnya.  

Langkah itu mengecewakan dunia Arab dan sekutu Barat. Presiden Penguasa Palestin, Mahmoud Abbas menyebutnya sebagai ‘tamparan di muka’ dan mengatakan bahawa AS tidak lagi boleh dianggap sebagai broker yang jujur dalam rundingan damai dengan Israel.

Pemilihan Presiden Joe Biden diharapkan mengambil pendekatan yang lebih seimbang terhadap Israel dan Palestin.  Namun, beliau mengatakan bahawa tidak merancang untuk memindahkan kedutaan kembali ke Tel Aviv. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button