Berita Utama

Kerajaan digesa ambil tindakan punca sebenar banjir: CAP

Henti beri alasan, ambil perhatian kemusnahan hutan berleluasa

GEORGETOWN, 2 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Kerajaan digesa mengambil tindakan ke atas punca sebenar kejadian banjir di negara ini serta tidak lagi berdolak-dalih dengan memberi alasan fenomena hujan luar biasa menjadi penyebab berlakunya masalah tersebut. 

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya kesal kerana walaupun ancaman banjir semakin serius, namun punca-punca kejadian itu masih gagal ditangani dengan berkesan.

“Kerajaan sepatutnya bukan hanya mengambil tindakan bagi mengatasi masalah yang sedang berlaku, tetapi perlu memberi perhatian utama kepada puncanya dengan memastikan perancangan fizikal yang cekap serta menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang ada dengan tegas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Dalam pada itu, Mohideen berkata, sejak lebih 10 tahun lalu, tinjauan CAP mendapati aktiviti pembalakan tidak terkawal, kerja-kerja pengambilan pasir dan kemusnahan hutan secara berleluasa serta pelaksanaan projek pembangunan tidak dirancang dengan teliti menjadi punca utama kejadian banjir. 

“Banyak kawasan tadahan dan takungan air termasuk paya gambut di negara ini terancam dan berlaku kejadian hakisan serta mendapan lumpur sehingga menjejaskan sistem saliran, sungai, tasik dan empangan,” katanya

Berikutan itu, beliau menggesa adanya tindakan bersepadu antara semua jabatan dan agensi yang terlibat dilaksanakan segera bagi menangani masalah banjir. 

Katanya, kerajaan juga harus mempertimbangkan impak perubahan iklim kerana akan membawa kepada peningkatan kekerapan dan intensiti kejadian cuaca ekstrem seperti ribut dan banjir. 

“CAP bimbang jika ancaman banjir seperti ini berterusan, bukan saja menjejaskan ekonomi negara, malah sektor pertanian yang merupakan nadi kehidupan rakyat. 

“Kita juga menuntut tindakan tegas diambil terhadap pegawai-pegawai dan pihak politik yang terlibat di dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam meluluskan aktiviti-aktiviti yang merosakkan bukit, kawasan tadahan air dan sungai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button