Berita Utama

Malaysia tak terkecuali isu pemerdagangan manusia

Negara ini dianggap transit bagi akitiviti itu kerana beberapa tarikan

KUALA LUMPUR, 2 Jamadilakhir 1442H, Jumaat  – Isu pemerdagangan manusia adalah isu global dan Malaysia juga tidak dapat mengelak daripada berdepan dengan jenayah rentas sempadan itu.

Penolong Pengarah D3 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ACP Azry Akmar Ayob berkata, Malaysia dianggap negara destinasi dan transit bagi aktiviti pemerdagangan manusia kerana perkembangan ekonomi, kestabilan politik dan kepelbagaian budaya yang menjadi faktor tarikan.

“Malaysia tidak dapat mengelak daripada menghadapi isu pemerdagangan manusia kerana isu itu merupakan isu global dan kedudukan Malaysia dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) diletakkan di Tier 2 Watch List pada 2020,” katanya.

Bercakap kepada pemberita di Bukit Aman baru-baru ini, beliau berkata, dua kategori jenayah permerdagangan manusia yang paling banyak dilaporkan di negara ini pada 2019 dan 2020 ialah eksploitasi seks dan kerja secara paksa.

Contoh mangsa eksploitasi seks ialah mereka yang dibawa masuk ke negara ini untuk bekerja sebagai pelacur atau pelayan khidmat pelanggan (GRO), manakala eksploitasi kerja secara paksa pula boleh berlaku dalam apa-apa pekerjaan apabila mangsa dinafikan hak mereka contohnya tidak dibayar gaji atau dikurung oleh majikan mereka.

“Terdapat banyak faktor mangsa terlibat jenayah ini antaranya kerana seseorang individu itu mengalami masalah ekonomi lalu teperdaya dengan janji pekerjaan yang dibuat penjenayah dan individu itu sendiri tidak memahami serta menyedari mengenai hak asasi manusia,” katanya.

Pada 2019 dan tahun lepas, kategori eksploitasi seks mencatatkan 276 kes dan eksploitasi kerja secara paksa mencatatkan 136 kes daripada keseluruhan 418 kes.

Azry Akmar berkata, mangsa yang paling ramai diselamatkan dalam tempoh itu pula kebanyakannya dari Indonesia iaitu 62 orang; Vietnam (33); dan Bangladesh (29) daripada keseluruhan 152 mangsa dengan mereka kebanyakannya terdiri daripada wanita dewasa.

“Secara keseluruhan jenayah pemerdagangan manusia di negara ini mencatat penurunan pada tahun lepas dengan 146 kes berbanding 272 kes pada 2019,” katanya.

Beliau berkata, selain eksploitasi seks dan eskplotaisi kerja, turut menjadi kategori jenayah pemerdagangan manusia mengikut Seksyen 2 Akta ATIPSOM 2007 ialah perhambaan, pengabdian, pemindahan organ dan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti penjualan bayi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button