Berita Utama

‘Patuhlah SOP jika tak mahu kes melonjak hingga 8,000 sehari’

Tak mustahil lebih banyak pesakit maut kerana tak dapat akses ke ICU

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 2 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19 wajar dan bertepatan ketika mana kes jangkitan melonjak sehingga 3,000 kes sehari.

Ini kerana, jika inisiatif itu tidak diambil, kemudahan kesihatan tidak mampu mengawal jumlah pesakit COVID-19, terutama mereka yang berada di tahap tiga dan empat yang memerlukan rawatan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Presiden Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof Dr Azmi Md berkata, katil ICU ketika ini sangat terhad dan hospital tidak lagi mampu menampung kapasiti pesakit.

“Maka, tak mustahil lebih banyak pesakit maut disebabkan tidak dapat akses ke rawatan ICU.

“Jadi, apa yang dilakukan kerajaan adalah tepat memandangkan kes semakin meningkat. Tak mustahil kes boleh naik hingga 5,000 hingga 6,000 kes sehari.

“Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) pun kata kes boleh sampai 8,000 sehari kalau tak jaga,” katanya seperti dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP di enam negeri – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah – untuk tempoh 14 hari bermula 13 Januari hingga 26 Januari.

Hari ini, Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seluruh Kelantan dan juga Sibu, Sarawak turut dikenakan PKP bermula 16 Januari berikutan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di kawasan itu.

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan berlaku peningkatan kes secara mendadak membabitkan kluster dalam komuniti di seluruh Kelantan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button