Berita Utama

Tindakan Agong isytihar darurat tak bersifat kepartian

Selagi tiada ordinan dimasyhurkan Agong, maka amalan sedia ada masih berkuat kuasa

BANGI, 2 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan di seluruh negara sehingga 1 Ogos depan tidak bersifat kepartian.

Secara perundangan, perisytiharan darurat seperti terkandung dalam Warta Kerajaan Pemberitahu Undang-Undang (PU) (A) menyatakan, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku, yang menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman aawam dalam Persekutuan adalah terancam susulan wabak penyakit berjangkit iaitu COVID-19.

Sebelum ini, permintaan sama tidak diperkenankan kerana baginda berpandangan keadaan masih boleh dikawal melalui peruntukan undang-undang sedia ada, kata Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Prof Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Jelasnya, darurat di sisi Perlembagaan bermaksud suatu keadaan bahaya besar mengancam keselamatan, kesihatan ekonomi atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya.

“Ia sama ada ancaman besar berkenaan sedang berlaku atau apabila Yang di-Pertuan Agong berpuas hati itu akan berlaku seperti diperuntukkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, tindakan mana-mana pihak mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong, amatlah tidak wajar,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Tegasnya, rakyat tidak perlu gelisah dengan perisytiharan darurat kali ini.

Hal ini kerana, meskipun Persekutuan berada dalam tempoh darurat dari tahun 1969 hingga 2012, Malaysia masih membangun.

Dalam tempoh itu, Parlimen masih bersidang dan Pilihan Raya Umum dilaksanakan mengikut jadual.

Katanya, persidangan Parlimen ditangguhkan hanya dalam tempoh 10 Mei 1969 hingga 19 Februari 1971, namun kembali bersidang pada 20 Februari 1971.

“Ahli politik juga seharusnya tidak cepat melatah kerana mereka tidak dihalang untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri sama ada dalam prosiding Parlimen atau di luar Dewan Rakyat.

“Parlimen masih boleh dipanggil bersidang mahupun dibubarkan dalam tempoh darurat mengikut peruntukan Perlembagaan.

“Selagi tiada ordinan dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong untuk menyekat atau membenarkan sesuatu di luar amalan biasa, maka amalan sedia ada masih berkuat kuasa,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button