Berita Utama

Agih ayam langgar SOP PKP, Pemuda UMNO Putrajaya dikompaun

Penganjuran program tak dapat kelulusan Polis Daerah Putrajaya

PUTRAJAYA 3 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Penganjur program pengedaran ayam beku di Presint 9 pada Khamis lalu, Pemuda UMNO Putrajaya dikenakan kompaun atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali.

Mohd Fadzil berkata, penganjuran program tidak mendapat kelulusan disebabkan Wilayah Persekutuan Putrajaya berada dalam tempoh PKP.

Katanya lagi, pengedaran ayam percuma dibuat secara pandu lalu dan telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas akibat kehadiran orang ramai.

“Hasil pemeriksaan polis mendapati penjarakan fizikal sukar dilaksanakan dalam kalangan hadirin serta SOP gagal dipatuhi oleh pihak penganjur dan orang awam yang hadir.

“Kompaun telah dikeluarkan kepada pihak penganjur di bawah Seksyen 22(B) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu kesalahan di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dalam menguatkuasakan undang-undang sepanjang PKP.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi segala arahan yang telah dikeluarkan kerajaan bagi tujuan membendung seterusnya memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 2,000 ekor ayam diagihkan secara percuma oleh Pemuda UMNO Putrajaya hingga menyebabkan kesesakan sehingga jalan utama Presint 9, sekali gus menimbulkan kebimbangan awam terhadap jangkitan COVID-19.

Beberapa keping gambar memperlihatkan orang ramai menaiki motosikal dan kereta beratur panjang untuk mendapatkannya menjadi tular di media sosial.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button