Berita Utama

Zeti dipanggil sebagai saksi dalam kes 1MDB Najib

Babit kes pengubahan wang haram RM2.3 bilion milik 1MDB

KUALA LUMPUR, 14 Rabiulawal 1444H, Selasa – Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Najib Tun Razak.

Isu memanggil Zeti untuk memberi keterangan timbul selepas peguam utama bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bertanyakan satu soalan kepada saksi ke-39 pendakwaan, bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank Cheah Tek Kuang, 75, mengenai kehadiran ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low di kediaman Zeti.

Selepas soalan itu diajukan kepada Cheah, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu Hakim Datuk Collin Sequerah bahawa soalan itu boleh ditanya kepada Zeti kemudian kerana pihak pendakwaan akan memanggil beliau untuk memberi keterangan dalam kes ini.

“Kami akan memanggil Zeti dan soalan ini boleh diajukan kepada beliau. Beliau mempunyai jawapan,” kata Sri Ram.

Terdahulu, Cheah disoal balas oleh Muhammad Shafee pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram Najib melibatkan dana RM2.3 bilion milik 1MDB.

Muhammad Shafee: Adakah anda pernah melawat rumah Gabenor (Zeti) ?

Cheah: Sekali untuk sambutan Hari Raya.

Muhammad Shafee: Adakah kamu pernah nampak Jho Low di rumah itu ?

Cheah: Tidak. Saya amat pasti.

Muhammad Shafee: Saya dapat maklumat yang boleh dipercayai bahawa Jho Low kerap melawat rumah Zeti.

Cheah: Saya tidak tahu

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung esok. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button