Dunia

‘Makan teruk, baju ketat’ kisah wanita Uyghur dipenjara 32 bulan

Diarah pulang isi borang persaraan, namun sebaliknya berlaku

SEORANG wanita etnik minoriti Uyghur tidak menyangka kepulangan ke wilayah autonomi Xinjiang untuk menandatangani dokumen persaraan menjadi titik hitam dalam hidupnya.

Pada November tahun 2016, Gulbahar Haitiwaji yang pada itu menetap di Perancis pulang ke tanah air dalam percutian selama dua minggu selepas menerima arahan untuk menandatangani dokumen berkaitan persaraan.

Bagaimanapun, setibanya di Xinjiang, Pihak Berkuasa Autonomi Xinjiang (XUAR) bertindak merampas passportnya dan pada 27 Januari 2017 beliau telah diletakkan di pusat tahanan.

“Mereka memenjarakan saya di pusat tahanan atas tuduhan melakukan kesalahan jenayah, mengorganisasi masyarakat dan mengganggu arahan sosial. Saya tidak pernah melakukan kesalahan itu.

“Kemudian mereka menunjukkan gambar anak saya bersama bendera (Turki Timur) ketika melakukan tunjuk perasaan dan mereka memberitahu anak saya adalah pengganas.

“Mereka menahan saya dengan menggunakan tuduhan suami saya melarikan diri ke Perancis untuk mencari pelindungan politik, terlibat dalam organisasi politik, saya merupakan isteri kepada pengganas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam buku autobiografi bertajuk Rescapée du Goulag Chinois (Survivor of the Chinese Gulag).

Gulbahar meninggalkan tanah besar China pada tahun 2006 untuk bersama suaminya di Perancis yang menetap di sana tiga ke empat tahun sebelum itu.

Suami dan dua anaknya kini merupakan warganegara Perancis, namun beliau mengambil keputusan untuk mengekalkan kerakyatan China bagi memudahkan pulang ke tanah air bagi menziarahi ahli keluarga di sana.

Gulbahar mendakwa, beliau ditahan di kem yang terletak di Karamay, selain mendedahkan sepanjang berada di sana pihak berkuasa banyak melakukan program berbentuk ‘brainwashing’, dilarang menggunakan bahasa Uyghur dengan kamera dipasang di setiap penjuru kawasan.

“Pakaian kami sangat ketat, senteng dan bahagian buku lali saya sering mengalami kesejukan. Lampu dipasang 24 jam sama ada di dalam kem tahanan atau penjara. Makanan yang diberikan juga sangat teruk.

“Secara fizikalnya lutut dan bahagian belakang saya mula rasa sakit, selain keupayaan untuk mengingati sesuatu perkara juga semakin lemah.

“Selain itu, mereka pernah menggari saya selama 20 hari, namun ia sama sekali tidak mematahkan semangat saya untuk hidup,” katanya lagi.

Gulbahar kemudiannya dibebaskan oleh pihak berkuasa selepas didapati tidak bersalah pada 21 Ogos 2019 dan beliau kemudiannya pulang ke pangkuan keluarga di Perancis. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button