Berita UtamaDunia

Angka korban global COVID-19 lebih 2 juta

Penghantaran vaksin Pfizer jadi perlahan pada tempoh tertentu

PARIS, 3 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Angka korban seluruh dunia bagi wabak COVID-19 melepasi dua juta orang, semalam.

Susulan daripada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terus menggesa pelaksanaan vaksinasi secara besar-besaran bagi menyekat penularan pantas pandemik itu.

Menurut AFP, setakat jam 6.25 petang semalam, kira-kira 2,000,006 kematian akibat wabak itu telah disahkan.

Bagaimanapun, syarikat farmaseutikal gergasi Amerika Syarikat (AS), Pfizer, dilapor memaklumkan bahawa penghantaran vaksin keluarannya akan menjadi perlahan bagi tempoh tertentu pada akhir bulan ini.

Ia sekali gus memberi tamparan kepada kempen imunisasi terbabit.

Semalam, WHO menggesa pelaksanaan vaksinasi itu dipercepatkan di seluruh dunia, selain usaha mengkaji jujukan virus berkenaan dipertingkat untuk menangani kemunculan varian baharu.

“Saya mahu melihat vaksinasi dilaksanakan di setiap negara dalam tempoh 100 hari akan datang supaya petugas kesihatan dan golongan berisiko tinggi dapat dilindungi dahulu,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, pada sidang media di Geneva.

Jangkitan COVID-19 secara global telah meningkat dengan purata 724,000 kes baharu sehari direkodkan sepanjang tempoh seminggu lalu.

Menurut penjumlahan AFP, angka berkenaan naik 10 peratus berbanding minggu sebelum itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button