Berita UtamaIstimewa

Ceroboh tanah: Beri kerajaan Pusat kuasa jaga tanah, hutan negeri

Saranan PEKA wajar diangkat elak penerokaan haram berleluasa

BANGI, 3 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Cadangan Pertubuhan Khazanah Alam Malaysia (PEKA) pada 2019 yang mahu penguatkuasaan terhadap aktiviti haram yang menggugat alam sekitar diperketatkan adalah bernas dan perlu disokong.

Menurut PEKA, ianya bertujuan agar pindaan Akta Perhutanan Negara 1984 dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Ali berkata, aktiviti seperti pengambilan hasil hutan secara haram hanya boleh dibendung menerusi penguatkuasaan yang jitu selain disokong tindakan undang-undang yang adil dan saksama.

Mengulas mengenai perkara itu, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, cadangan itu adalah selari dengan salah satu tuntutan pertubuhan itu terhadap kerajaan pusat, iaitu menubuhkan kementerian khas bagi menjaga tanah-tanah daripada diceroboh dan dijual sesuka hati.

“Memberi kuasa kepada pentadbiran pusat untuk menjaga tanah dan hutan di negara ini. Saya berpendapat cadangan ini sangat bernas, perlu disokong dan perlu diangkat.

“…terutamanya tanah rizab Melayu dan tanah adat. Diharap agar kerajaan mempertimbangkan cadangan ini dan melihat segala apa yang terjadi kini, “ katanya dalam satu kenyataaan hari ini.

Terdahulu, Kementerian Alam Sekitar dan Air mengakui, pembukaan hutan untuk pelbagai aktiviti ekonomi dan pembangunan, menjadi antara punca banjir berlumpur melanda negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, antara aktiviti pembukaan hutan yang menyumbang kepada bencana alam ialah pembalakan dan projek durian ‘Musang King’.

“Selain itu, ia boleh juga disebabkan perladangan sawit, dusun dan projek perumahan, banyak punca banjir lumpur ini berlaku,” katanya.

Pada masa sama, Aminuddin berkata, kenyataan Tuan Ibrahim adalah selari dengan apa yang diperkatakan di Mahkamah Tinggi Kuantan tahun lalu, di mana kawasan yang diceroboh bagi menanam Musang King di Raub adalah kawasan tadahan air.

Justeru, beliau menggesa kerajaan bertindak lebih agresif dan tegas terhadap penceroboh-penceroboh hutan di hampir semua daerah di Pahang, terutamanya kes kartel Musang King di Raub.

“Saya merayu agar kerajaan pusat dapat memikirkan sesuatu untuk perkara ini dan kami sedia memberi input dan berbesar hati untuk memberi kerjasama,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button